- Iklan -
Berita

Kerajaan komited ambil tindakan susulan, sempurnakan pelan pemulihan Felda, kata MOF

Kementerian Kewangan berkata kerajaan meluluskan Jaminan Kerajaan sehingga RM9.9 bilion untuk agensi itu menerbitkan sukuk.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang peneroka Felda bekerja di ladang kelapa sawit di Felda Pasoh 4, Jelebu, Negeri Sembilan.
Seorang peneroka Felda bekerja di ladang kelapa sawit di Felda Pasoh 4, Jelebu, Negeri Sembilan.

Kerajaan Perpaduan komited memastikan pelan pemulihan Felda termasuk pelupusan hutang peneroka seperti diumumkan sebelum ini akan diambil tindakan susulan untuk menyempurnakan pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan berkata kerajaan meluluskan Jaminan Kerajaan sehingga RM9.9 bilion untuk agensi itu menerbitkan sukuk.

“Bermula tahun ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda yang antara lainnya membiayai hapus kira hutang peneroka,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan 28 Jun lepas, memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu dengan sebahagian besar melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Perjanjian itu antara lain akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021. 

Semalam, Anwar pada program Temu Anwar di Kedah turut menjelaskan bahawa sememangnya terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu untuk melupuskan hutang berkenaan, namun ia tidak dilaksanakan.

“Belanjawan 2021 bawah Perikatan Nasional dan 2022 bawah Perikatan Nasional tidak ada peruntukan untuk menyelesaikan dan melupuskan hutang Felda. Saya kekal dengan rekod ini.

“Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi baharu Felda Ahmad Shabery Cheek mengakui Muhyiddin Yassin semasa menjawat jawatan perdana menteri sebelum ini ada menyatakan untuk membayar RM1 bilion setahun selama 10 tahun mulai 2022, tetapi perkara itu tidak dilaksanakan.

“Ia hanya janji, tapi tak laksana. Sebab tak ada hitam putih dengan Felda untuk bantu selesaikan hutang yang banyak itu,” tulisnya dalam hantaran di Facebooknya.

Sebaliknya, Shabery berkata Anwar yang baru-baru ini putuskan penyelesaian dan buat perjanjian dengan Felda untuk selesaikan sukuk.

“Kerajaan Perpaduan bagi komitmen bayar RM1 bilion setahun kepada Felda untuk selesaikan hutang itu. Alhamdulillah Felda lega dan boleh bantu lagi peneroka,” tulisnya.