- Iklan -
Berita

Kerajaan Selangor cuba roboh pusat khidmat selepas gagal usir, dakwa Adun PN

Ia selepas premis itu sekali lagi didatangi oleh penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hadir ke pusat khidmat DUN Gombak Setia semalam. Gambar: Facebook
Penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hadir ke pusat khidmat DUN Gombak Setia semalam. Gambar: Facebook

Kerajaan Selangor cuba merobohkan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia selepas gagal mengosongkan premis berkenaan, kata penyandang wakil rakyat kawasan itu Muhammad Hilman Idham.

Hilman dalam satu kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan premis yang dibina sejak 2008 itu sekali lagi didatangi oleh penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

“Berbeza dengan notis yang diserahkan sebelum ini, mereka kini sedar bahawa alasan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah tidak munasabah untuk memaksa saya mengosongkan premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pada 28 Jun, Hilman diarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk mengosongkan premis pusat khidmat rakyat kawasan berkenaan serta-merta.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) berkata, arahan pengosongan itu dibuat berikutan tiada kebenaran daripada kerajaan negeri untuk mengadakan pusat khidmat di atas tanah tersebut.

Katanya, kehadiran penguat kuasa semalam adalah untuk menyerahkan dan menampal Notis Kesalahan Pendudukan Secara Tidak Sah di atas Tanah Kerajaan Seksyen 425 & 426A (1)(C) Kanun Tanah Negara 1965.

Beliau menegaskan tindakan desperado ini adalah bermotifkan salah guna kuasa, ugutan dan “vendetta” politik oleh kepimpinan kerajaan Selangor yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Fakta ini sekali gus menafikan bahawa premis Pusat Khidmat Rakyat DUN Gombak Setia pernah berfungsi sebagai Dewan Orang Ramai seperti yang di uar-uarkan oleh pegawai akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor. 

“Saya tidak akan tunduk dengan tekanan dan ugutan ini,” tambahnya. 

“Di kala rakyat sedang berada dalam kesempitan akibat daripada pengurusan ekonomi yang bobrok dan tekanan kos sara hidup yang tinggi, saya akan terus menyalurkan khidmat kepada rakyat sehingga rakyat membuat pilihan dalam PRN Selangor pada 12 Ogos.”