- Iklan -
Berita

Kerajaan Selangor dibidas cuba kosongkan pejabat khidmat Adun Gombak Setia

Penyandang Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berkata arahan tersebut bagaimanapun tidak ditandatangani oleh pegawai daerah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang hadir ke pusat khidmat DUN Gomba Setia untuk tindakan pengosongan petang tadi.
Pegawai penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang hadir ke pusat khidmat DUN Gomba Setia untuk tindakan pengosongan petang tadi.

Penyandang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia berang apabila beliau diarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk mengosongkan premis pusat khidmat rakyat kawasan berkenaan serta-merta hari ini.

Muhammad Hilman Idham berkata arahan tersebut bagaimanapun tidak ditandatangani oleh pegawai daerah sebaliknya hanya oleh penolong pegawai daerah (Penguatkuasaan).

“Saya ingin menegaskan bahawa alasan yang dikemukakan berikutan tiada kebenaran kerajaan negeri untuk mengadakan pusat khidmat di atas tanah tersebut merupakan alasan paling tidak munasabah dan bodoh,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini kerana katanya, pusat khidmat kawasan tersebut telah beroperasi di atas tanah berkenaan untuk tempoh lebih lima tahun dengan penuh pengetahuan kerajaan negeri.

Beliau berkata tindakan desperado ini jelas memperlihatkan kegusaran Pakatan Harapan (PH) terhadap kebangkitan rakyat dan kekuatan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Saya ingin menasihatkan pimpinan PH agar tidak mengkambing hitamkan pegawai-pegawai kerajaan untuk mengambil tindakan yang bermotifkan politik. 

“Saya yakin, para pegawai kerajaan Selangor juga tidak akan tunduk dan bertoleransi terhadap sebarang tekanan seperti ini,” katanya.

Hilman berkata, pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia juga didatangi oleh pegawai penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang petang ini, tepat jam 3.50 petang untuk tindakan pengosongan.