- Iklan -
Berita

Mahkamah keluar perintah injunksi halang roboh pusat khidmat Gombak Setia

Perintah injunksi itu diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menempatkan Mahkamah Tinggi Shah Alam. Gambar: Facebook
Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menempatkan Mahkamah Tinggi Shah Alam. Gambar: Facebook

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah injunksi terhadap Pentadbir Tanah Gombak dan kerajaan Selangor bagi menghalang tindakan mengusir dan merobohkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berkata perintah injunksi diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Permohonan perintah injunksi itu dibuat peguam Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif.

“Ini bermakna, jika pihak kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Gombak masih meneruskan tindakan terhadap Pusat Khidmat Gombak Setia – maka, mereka boleh dikenakan tindakan melanggar perintah dan menghina mahkamah,” kata Hilman dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada 28 Jun, Hilman diarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk mengosongkan premis pusat khidmat rakyat kawasan berkenaan serta-merta.

Hilman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berkata, arahan pengosongan itu dibuat berikutan tiada kebenaran daripada kerajaan negeri untuk mengadakan pusat khidmat di atas tanah tersebut.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Hilman memaklumkan premis yang dibina sejak 2008 itu sekali lagi didatangi oleh penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk menyerahkan notis merobohkan struktur binaan dalam tempoh tujuh hari.

Hilman berkata, beliau bertekad mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Selangor yang menggunakan salah guna kuasa, ugutan dan politik dendam bagi mengusir dan memusnahkan Pusat Khidmat Gombak Setia. 

“Saya ingin menegaskan Pusat Khidmat Gombak Setia akan terus memberi khidmat kepada rakyat Gombak Setia sehinggalah selesai Pilihan Raya Negeri Selangor akan datang,” katanya.

“Tugas dan tanggungjawab saya kepada warga Gombak Setia tidak akan terhenti semata-mata kerana pembubaran DUN Selangor.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi