- Iklan -
Berita

Kenyataan Tony Pua selari dengan agenda DAP, kata bekas pemimpin

Mereka berkata ia adalah 'permainan politik' menjelang pilihan raya yang semakin hampir di enam negeri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua. Gambar: Bernama
Bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua. Gambar: Bernama

Bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua baru-baru ini mencetuskan kekecohan dengan menggelar Barisan Nasional (BN), musuh lama Pakatan Harapan (PH) yang kini rakan kongsi dalam kerajaan, sebagai “pakatan korup".

Ekoran itu, Pua bukan saja dikecam oleh ahli Umno tetapi juga ditegur oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang berkata sesiapa yang tidak berpuas hati dengan gabungan PH dengan BN dan Umno harus berhenti bercakap bagi pihak DAP.

Loke juga berkata menyerang rakan gabungan adalah tidak wajar, dan Pua tidak lagi mewakili DAP.

Bagaimanapun beberapa bekas pemimpin parti, percaya kenyataan Pua itu mempunyai kaitan dengan agenda DAP.

Mereka berkata, kenyataan sebegitu adalah bersebab dan dilihat sebagai satu permainan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos.

"Pua bercakap berdasarkan agenda politik DAP," kata bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong.

PH dilanda kontroversi selepas memutuskan untuk berkerjasama dengan BN selepas pilihan raya umum tahun lalu, keputusan mengejut itu susulan keadaan Parlimen tergantung.

Ramai yang mempersoalkan tindakan itu, memandangkan pendirian lama PH menentang Umno yang dicemari dengan amalan rasuah dan ketuanya, bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib tewas dalam pilihan raya umum pada 2018, menamatkan era pemerintahan paling lama BN buat kali pertama sejak merdeka.

Dia dikenakan beberapa siri pertuduhan jenayah, dan kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB, SRC International. 

Awal tahun ini, Umno mengulangi usaha untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Langkah itu mencetuskan perdebatan lanjut mengenai kerjasama PH dengan BN memandangkan gabungan itu sudah lama berkempen menentangnya.

Kenyataan Pua yang menyifatkan BN sebagai "pakatan korup", juga telah memberi gambaran bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini adalah rapuh dan mengharapkan PH boleh membentuk kerajaan sendiri. 

Meskipun Loke berkata Pua tidak lagi memegang jawatan dalam DAP dan bercakap atas kapasiti peribadi, namun Wee berkata bekas Ahli Parlimen Damansara itu adalah penasihat Loke dan oleh itu beliau memegang jawatan penting dalam PH.

"Pua bukan sekadar ahli biasa tetapi penasihat kepada Loke. Bukankah penasihat itu juga satu jawatan penting?

Dalam pada itu, seorang lagi bekas ahli DAP berpandangan kenyataan Pua itu seolah-olah ingin menunjukkan parti itu masih "bersih" untuk meraih sokongan rakyat yang rata-ratanya menolak kerjasama PH-BN.

Bercakap berdasarkan pengalamannya dalam politik, bekas ahli Parlimen Bentong  Wong Tack juga menyifatkan kenyataan Pua sebagai satu permainan politik yang rakyat tidak nampak.

"Saya bukan lagi ahli (DAP), tetapi (kenyataan) itu adalah bertepatan dengan pandangan masyarakat umum," kata Wong.

"Selagi anda tidak sertai politik, anda tidak tahu betapa kotornya (politik).

"Semuanya ada sebab dengan niat. Mesti ada sesuatu di sebalik apa yang dicakapkan atau dibuat.”