- Iklan -
Berita

Sekali lagi, Rafizi ramal keputusan pilihan raya berdasarkan 'data'

Pemimpin PKR itu sebelum ini terkenal kerana meramalkan PAS akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum 2018.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. Gambar: Bernama

Rafizi Ramli berkata beliau mempunyai "data" yang menunjukkan peningkatan sokongan orang ramai terhadap Pakatan Harapan (PH) menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan presiden PKR itu, yang terkenal kerana meramalkan PAS akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, berkata hasil tinjauan akan dikeluarkan bulan ini, yang dilihat sebagai tindak balas terhadap keyakinan pemimpin pembangkang untuk menguasai beberapa negeri pada PRN. 

Beliau berkata selain menunjukkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin berkurangan dengan "saingan sengit" di kubu kuat PAS seperti di Kedah dan Kelantan, tinjauan itu juga menunjukkan PH akan menang di tiga daripada enam negeri. 

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 26 Jun berkata gelombang PN yang bermula pada PRU15 akan diteruskan pada PRN akan datang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan.

Beberapa hari sebelum PRU14 pada 2018, kumpulan penyelidik Rafizi, Invoke Malaysia meramalkan bahawa PAS, yang bukan sebahagian daripada gabungan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad, tidak akan memenangi satu kerusi pun di seluruh negara, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri. 

Ramalan itu, yang menurut Rafizi berdasarkan data tinjauan, ternyata meleset, apabila PAS memenangi 18 kerusi Parlimen meskipun berdepan Barisan Nasional (BN) dan PH membabitkan pertembungan tiga penjuru, selain menawan Terengganu. 

Berikutan kemenangan lebih besar yang diraih PAS dalam PRU15 tahun lepas, Rafizi mengaitkannya dengan retorik perkauman dan politik wang parti Islam itu. 

Pada pilihan raya November lalu, PAS memenangi 49 kerusi Parlimen, jumlah kerusi tertinggi oleh mana-mana parti tunggal.