- Iklan -
Berita

Twitter tolak permintaan SKMM padam ciapan kritik PM

Ia menjadi semakin panas berikutan portal berita MalaysiaNow tidak boleh diakses selama 48 jam.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ialah sebuah agensi pengawal selia di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Dan Digital. Gambar: Bernama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ialah sebuah agensi pengawal selia di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Dan Digital. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) gagal meminta Twitter untuk menurunkan beberapa ciapan oleh pengkritik kerajaan, dalam langkah terbaru memadamkan pandangan yang tidak memihak kepada Putrajaya, MalaysiaNow difahamkan.

Perkhidmatan rangkaian media sosial yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menolak permintaan SKMM untuk menurunkan empat ciapan oleh Salim Iskandar, yang kerap menyiarkan tulisan mempersendakan kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Memandangkan Twitter sangat percaya dalam mempertahankan dan menghormati suara pengguna kami, adalah menjadi dasar kami untuk memberitahu pengguna jika kami menerima permintaan undang-undang daripada entiti yang diberi kuasa (seperti penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan) untuk memadamkan kandungan daripada akaun mereka," kata Twitter dalam e-mel kepada Salim bagi memaklumkan permintaan SKMM kepadanya.

Salim sebelum ini menyiarkan beberapa siri ciapan mencabar Anwar untuk mengangkat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan liwat yang mana beliau disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara pada 2015, sebelum diberikan pengampunan diraja pada 2018.

Beliau juga menyelar perdana menteri kerana pendiriannya sekarang yang memihak kepada pelaburan China, membandingkan dengan kenyataan Anwar sebelum ini yang mengkritik kerajaan kerana bergantung hanya kepada Beijing, termasuk ketika Anwar menuduh kerajaan Najib Razak menjual negara kepada China.

Twitter dalam maklum balasnya menasihatkan Salim untuk memutuskan sama ada beliau mahu memadamkan siaran itu secara sukarela, atau mendapatkan khidmat peguam bela.

Syarikat itu mempunyai dasar meneliti permintaan daripada agensi kerajaan untuk memadam ciapan, tetapi ia hanya dipenuhi untuk kes yang melibatkan kemudaratan kepada kanak-kanak, ancaman kepada nyawa dan keganasan.

Dasar Twitter juga menghalang syarikat itu daripada mematuhi permintaan yang boleh menyekat kebebasan bersuara atau menutup mulut wartawan dan ucapan politik yang sah.

SKMM ialah sebuah agensi pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital diterajui Fahmi Fadzil, yang mengundang kontroversi kerana serangannya terhadap media serta ancaman tindakan polis terhadap pengkritik kerajaan baru-baru ini.

Fahmi dan SKMM sekali lagi menjadi tumpuan baru-baru ini selepas MalaysiaNow tidak dapat diakses, hanya beberapa jam selepas saluran berita dalam talian itu melaporkan tentang kemarahan Fahmi terhadap pengkritik kerajaan semasa sesi secara langsung di TikTok.

Walaupun Fahmi menafikan beliau mengeluarkan sebarang arahan untuk menyekat mana-mana portal berita, namun semakan menggunakan alat dalam talian menunjukkan sekatan itu dilakukan dengan cara biasa digunakan oleh pihak berkuasa untuk menyekat kandungan berunsur lucah dan yang tidak diingini.

Laman sesawang MalaysiaNow tidak boleh diakses oleh pengguna Unifi, Maxis dan Celcom, tetapi dibuka semula pada petang semalam tanpa sebarang sekatan pada tiga penyedia perkhidmatan internet utama di negara ini.