- Iklan -
Berita

Menteri pertahan tindakan di KLIA, mahu SKMM siasat pegawai bocorkan gambar

Tiong King Sing juga menyerang pegawai imigresen di lapangan terbang itu, menuduh mereka meminta rasuah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing. Gambar: Bernama
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing. Gambar: Bernama

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mengakui menyerbu masuk ke balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk campur tangan bagi pihak seorang wanita warga China yang ditahan pihak imigresen, dan menyerang pegawai imigresen kerana didakwanya meminta rasuah dan salah guna kuasa.

Tiong, yang merupakan ahli Parlimen GPS, turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat bagaimana gambarnya sewaktu kejadian itu dibocorkan kepada umum, sambil berkata beliau pasti ini adalah kerja pegawai dalaman.

“Kenapa tularkan gambar dengan persepsi tidak tepat dan berita yang berunsur fitnah?” soalnya sambil berkata SKMM mesti menyiasat "pegawai dalaman yang menularkan serta fitnah".

Beliau menuduh pegawai yang membocorkan gambar itu bimbang “sumber pendapatan” mereka akan terancam.

“Mungkin juga mereka ingin melindungi rakan-rakannya dengan sengaja membocorkan maklumat, membuat tuduhan tanpa asas dan menyebarkan laporan palsu,” tambahnya.

Portal berita BebasNews melaporkan seorang menteri menceroboh masuk balai ketibaan di KLIA apabila mengetahui seorang wanita warga China dilarang memasuki negara ini.

"Bila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan wanita warga China itu yang ditahan memasuki negara semasa tiba semalam," kata laporan itu, yang disertakan dengan gambar kabur menteri dan warga asing semasa kejadian.

Menurut laporan itu lagi, ia adalah campur tangan ketiga oleh menteri di lapangan terbang itu. 

Tiong dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh beliau melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen. 

“Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian. Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang menteri pelancongan, seni dan budaya (Motac).

“Apa guna saya sebagai menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing? Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan,” katanya. 

Dalam lawatannya ke KLIA itu, Tiong berkata beliau turut membawa pegawai siasatan daripada unit integriti di bawah Motac.

Beliau dimaklumkan ada pegawai imigresen yang meminta wang sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.  

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,” tambahnya.