- Iklan -
Berita

Suhakam pula kritik cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia berkata kanak-kanak harus dianggap sebagai 'individu pemegang hak sepenuhnya' yang mempunyai hak untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan terpaksa berdepan risiko diskriminasi dan layanan tidak adil termasuk disisihkan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan serta perubatan akibat tidak memiliki kad pengenalan biru. Gambar: Bernama
Ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan terpaksa berdepan risiko diskriminasi dan layanan tidak adil termasuk disisihkan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan serta perubatan akibat tidak memiliki kad pengenalan biru. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini berkata, usaha kerajaan menjalankan pindaan peruntukan kewarganegaraan mendatangkan “risiko” dengan kumpulan hak asasi dan pakar Perlembagaan memberi amaran ia akan mendiskriminasikan dan mengenepikan hak puluhan ribu kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Farah Nini Dusuki, pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam, berkata pindaan yang dicadangkan itu dilihat “mengabaikan keperluan untuk mengambil kira keadaan dan faktor yang menyebabkan individu, terutamanya kanak-kanak menjadi tiada kewarganegaraan”.

“Usaha menjalankan pindaan terhadap peruntukan kewarganegaraan dengan niat untuk menyempurnakan amalan yang rumit dalam mendapatkan taraf kewarganegaraan secara menyeluruh ini turut berisiko untuk mendiskriminasikan dan mengenepikan kumpulan tertentu,” katanya.

Lebih 100 pertubuhan dan aktivis yang terlibat dalam memperjuangkan kewarganegaraan sama rata sebelum ini memberi amaran kepada Putrajaya terhadap sebarang cubaan untuk meminda undang-undang kewarganegaraan secara senyap-senyap yang boleh menganiaya kanak-kanak tanpa kerakyatan, walaupun kerajaan berjanji untuk meneruskan pindaan perlembagaan untuk membantu mereka yang dilahirkan di luar negara.

Dalam pada itu, pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, sebarang keputusan untuk menghapuskan perlindungan Perlembagaan bagi melindungi individu daripada diberikan status tanpa kerakyatan akan membentuk kelas baru yang besar individu tanpa kerakyatan.

Dalam satu kenyataan, Farah berkata kanak-kanak harus dianggap sebagai "individu pemegang hak sepenuhnya" yang mempunyai hak untuk memperoleh kewarganegaraan.

“Bagaimanapun, pindaan yang dicadangkan menyukarkan mereka untuk memperoleh hak daripada ibu bapa mereka. 

“Pindaan yang dicadangkan sewajarnya dirangka dari perspektif dua-hala iaitu dengan mengambil kira natijah untuk mengurangkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan memelihara kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya.

Dalam perkara berasingan, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai cabaran yang dilaporkan dalam proses pendaftaran sekolah agama rakyat (SAR), yang menurutnya memainkan "peranan penting" dalam menyediakan pendidikan agama dan bimbingan kepada ramai kanak-kanak di negara ini. 

Walaupun banyak SAR mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan atau Jabatan Agama Negeri, beliau berkata ada yang masih menunggu kelulusan.

“Keadaan ini mendedahkan sekolah-sekolah tersebut kepada risiko perundangan dan menyebabkan mereka tidak layak untuk memperoleh bantuan kewangan, infrastruktur yang diperlukan, dan tenaga pengajar yang berkelayakan,” tambahnya sambil menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan proses untuk sekolah-sekolah ini. 

Beliau turut mencadangkan agar Jabatan Agama Negeri bekerjasama dengan pusat zakat dan majlis agama di peringkat negeri bagi memberi bantuan kewangan kepada sekolah yang menghadapi kesukaran memenuhi keperluan operasi.