- Iklan -
Berita

Muda tidak cukup kuat bertanding ‘solo’, kata penganalisis

Mereka mengatakan Muda merupakan parti baru dan tidak mempunyai apa-apa untuk mempengaruhi golongan belia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Muda tergantung di latar belakang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.
Bendera Muda tergantung di latar belakang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.

Penganalisis mempersoalkan keputusan Muda bertanding secara solo dalam pilihan raya di enam negeri, mengatakan parti berasaskan belia itu tidak mempunyai sokongan akar umbi bagi membentuk gabungan lebih mantap seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada MalaysiaNow, Rabi'ah Aminudin berkata Muda masih dianggap sebagai parti baru dan tidak mempunyai apa-apa untuk mempengaruhi golongan belia.

"Muda mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk mengukuhkan kuasa akar umbinya, walaupun dalam kalangan belia," tambah Rabi'ah, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Presiden dan pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini mengumumkan parti itu akan bertanding sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Negeri Sembilan.

Walaupun Muda menjalin persefahaman pilihan raya dengan PH dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas, hubungan antara kedua-dua parti itu nampaknya merosot sejak akhir-akhir ini, dengan perbalahan dalam beberapa isu termasuk kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) dan peruntukan kerusi di Selangor.

Ketua Penerangan Muda Luqman Long turut menulis di Twitternya mengkritik tindakan Anwar Ibrahim mengadakan rumah terbuka di negeri-negeri yang akan mengadakan PRN, manakala timbalan presidennya Amira Aisya menggesa perdana menteri memohon maaf kerana membuat gurauan kurang sopan terhadap seorang pelajar Tingkatan 6.

Muda diasaskan berikutan Syed Saddiq keluar daripada Bersatu, yang kini merupakan komponen PN.

Syed Saddiq sendiri baru-baru ini mengesahkan beliau masih setia dengan PH meskipun dikritik terhadap usahanya untuk membahaskan projek LCS di Parlimen.

Bagaimanapun, beliau baru-baru ini dilaporkan berkata Muda akan bertanding sendiri kerana prinsip kerajaan sudah berubah.

Beliau juga berkata Muda akan berkempen secara dalam talian serta bersemuka, bagi mengelak bergantung kepada pembiaya politik.

Pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata Muda mungkin tidak mempunyai pilihan selain bertanding menggunakan logonya sendiri.

"Ia menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai bajet tetapi masih tetap mahu bertanding," katanya.

"Ini bermakna mereka tidak dapat memperoleh sebarang konsesi dengan PH. Tetapi siapa yang akan tahu bahawa mereka bertanding jika mereka tidak memasang bendera mereka?" tambahnya, merujuk kepada rancangan Muda untuk berkempen secara dalam talian.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali kemudiannya berkata Muda menunjukkan prestasi buruk pada dua pilihan raya lepas.

“Terbukti Muda tidak ada pengaruh dalam PRN Johor,” katanya, merujuk kepada satu-satunya kerusi yang dimenangi parti itu daripada enam kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu.

“Dalam PRU tahun lepas pun sama, Muda tak dapat meraih sokongan orang muda.”

Muda meletakkan enam calon pada PRU15 tahun lepas.

Bagaimanapun, hanya Syed Saddiq berjaya mempertahankan kerusinya di Muar.

Mazlan juga mempersoalkan sejauh mana Undi 18 akan diberikan kepada Muda atau sayap pemuda PKR dan PAS yang sudah lama ditubuhkan.

“Beri peluang kepada Muda bermakna merebut sokongan Pemuda PKR.

“Sebaliknya Muda tak dapat menyaingi PAS dari segmen Pemuda Melayu Islam.”

Sementara itu, Rabi'ah berkata, golongan muda kelihatan sudah bersedia dalam membuat keputusan untuk menyokong sama ada PN atau PH-BN.

“Jadi rasanya hasrat Muda bertanding sendirian tidak mempunyai impak besar,” katanya.