- Iklan -
Berita

Lebih baik kritik secara terbuka daripada tandatangan SD diam-diam, kata Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar itu menjawab kritikan yang diterimanya selepas cuba membangkitkan projek kapal tempur pesisir di Dewan Rakyat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berbahas di Dewan Rakyat. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berbahas di Dewan Rakyat. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tidak akan berhenti menyuarakan isu-isu rakyat di Parlimen, ketika beliau dan partinya dikritik hebat baru-baru ini kerana membangkitkan isu skandal pembinaan kapal pesisir tempur (LCS).

Bercakap kepada MalaysiaNow, presiden Muda itu berkata parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sudah mengenali dirinya dan kelantangan serta pendirian beliau.

"Jangan pendirian kita berubah apabila ada dalam kerajaan, itu tidak betul. Lebih baik bercakap secara terbuka di Parlimen daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) secara senyap-senyap," katanya merujuk kepada desas-desus usaha menukar kerajaan yang bertiup kencang beberapa bulan lalu.

Katanya, beliau memilih untuk kekal setia dengan PH sejak zaman Langkah Sheraton walaupun dipujuk dengan jawatan menteri dan diugut selepas itu.

Kerajaan sebelum ini setuju untuk meneruskan pembinaan lima kapal LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi sebuah syarikat bertujuan khas yang akan mengambil alih projek itu daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 mengemukakan usul untuk membahas isu tersebut pada sesi Parlimen lepas namun ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Sayap Pemuda PKR turut menempelak kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa penolakan usul itu adalah kerana bukan kepentingan awam.

"Mungkin orang akan kata (Muda) gunting dalam lipatan, tetapi mereka lupa jika ini benar, saya sudah lama tunduk pada ugutan atau menerima habuan-habuan yang ditawarkan.

"Jika semua itu saya tolak, takkan tiba-tiba saya hendak jadi orang lain?" soalnya.

Beliau sebelum ini menggesa Pemuda PKR untuk tidak mengubah intonasi mereka berhubung isu berkenaan, yang dijadikan bahan kempen PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Ini bukan kali pertama Muda dan PH, terutamanya PKR, tidak sehaluan. Sebelum ini, kedua-dua parti tidak sehaluan dalam pembahagian kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketika ini, Muda dan PH Selangor saling berbalas kenyataan berhubung kerjasama yang ingin diadakan menjelang PRN.

Syed Saddiq berkata, ramai pengundinya di Muar menyokong tindakan beliau menyuarakan isu LCS di Parlimen.

"Kalau kamu tidak mahu konsisten selepas pilihan raya, itu kamu. Saya mahu konsisten.

"Isu ini besar di hati saya kerana atuk saya berkhidmat dalam TLDM sejak muda hingga bersara," tambah beliau.