- Iklan -
Berita

Mahkamah batal kemenangan ahli Parlimen Kuala Terengganu

Mahkamah memutuskan bahawa calon BN Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim bercakap kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, 17 Jun. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim bercakap kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, 17 Jun. Gambar: Bernama

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Mohd Firuz Jaffril berkata pihak pempetisyen, iaitu calon BN Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Beliau berkata walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM50,000 kepada pempestiyen dan membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan Amzad membuat rayuan serta memfailkan permohonan rasmi penggantungan beliau sebagai Ahli Parlimen.

Amzad diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud manakala Mohd Zubir diwakili peguam Mohd Hafarizam Harun. 

Pada 3 Januari lepas, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa. 

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

Sementara itu, Wan Rohimi berkata pihaknya akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan secepat mungkin selepas Aidiladha.

Beliau berkata pihaknya juga akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya Pilihan Raya Umum tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan.