- Iklan -
Berita

Seorang anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera ketika latihan menembak

Mangsa merupakan penuntut kursus peningkatan pembantu pertahanan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia ketika membuat persembahan di Pangkalan Udara Subang.
Gambar fail menunjukkan jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia ketika membuat persembahan di Pangkalan Udara Subang.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang anggotanya maut manakala dua jurulatih cedera ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas tengah hari tadi.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden pada 12.10 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, yang merupakan penuntut kursus peningkatan pembantu pertahanan kelas 1 Siri 78/23, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua jurulatih yang mengalami kecederaan itu pula diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.

“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kes kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

Katanya maklumat perkembangan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Daerah Tampin Superintenden Anuwal Ab Wahab mengesahkan seorang daripada jurulatih yang cedera dalam insiden itu telah meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Beliau berkata maklumat lanjut akan dikongsi dari semasa ke semasa kerana siasatan masih dijalankan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi