- Iklan -
Berita

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6725/6790 berbanding dolar AS daripada 4.6760/6805 pada penutupan Jumaat lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ringgit dibuka lebih baik sedikit berbanding dolar AS, berada pada 4.6725/6790 berbanding dolar AS setakat pagi ini.
Ringgit dibuka lebih baik sedikit berbanding dolar AS, berada pada 4.6725/6790 berbanding dolar AS setakat pagi ini.

Nilai ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal pagi ini walaupun permintaan terhadap dolar AS semakin kukuh sebagai mata wang selamat berikutan kekecohan di Rusia pada hujung minggu, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6725/6790 berbanding dolar AS daripada 4.6760/6805 pada penutupan Jumaat lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kekecohan Rusia pada hujung minggu memberi kesan kepada sentimen risiko kerana pelabur global masih bimbang dengan pengetatan monetari bank pusat.

Beliau berkata sepanjang bulan lalu, ringgit Malaysia mempamerkan prestasi yang lebih rendah berbanding rakan serantau Asean bersama-sama yuan China sambil menambah perkaitan ini mencerminkan hubungan perdagangan yang mendalam dan tumpuan penggubal dasar selalunya pada kadar silang ringgit-yuan China.

"Melihat pada Renminbi pagi ini yang dibuka agak lengang ekoran jangkaan kelemahan sederhana dalam mata wang China dan tiada pemangkin yang jelas untuk meningkatkan aliran portfolio meskipun ringgit meningkat sedikit, kami menjangkakan belian ke atas dolar AS akan menurun," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan lemah berbanding pound Britain pada 5.9495/9578 daripada 5.9469/9527 pada penutupan Jumaat, rendah berbanding euro pada 5.0954/1024 daripada 5.0781/0830 tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2577/2627 daripada 3.2645/2680 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit turut diniagakan bercampur-campur.

Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4578/4628 berbanding 3.4568/4604 pada penutupan Jumaat dan merosot berbanding baht Thai kepada 13.2877/3115 daripada 13.2765/2950.

Bagaimanapun, nilai mata wang tempatan menambah berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.40 daripada 8.38/8.40 pada penutupan Jumaat dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 311.4/312.1 daripada 311.7/312.2 sebelumnya.