- Iklan -
Berita

Kompaun Majlis Perbandaran Kota Bharu terhadap wanita bukan Islam tidak wajar, kata Bersatu

Ia mengatakan standard yang dikenakan ke atas wanita Islam tidak boleh dikenakan kepada bukan Islam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pemilik perniagaan wanita di Kota Bharu memegang kompaun yang dikeluarkan ke atas cara pakaiannya. Gambar: Facebook
Seorang pemilik perniagaan wanita di Kota Bharu memegang kompaun yang dikeluarkan ke atas cara pakaiannya. Gambar: Facebook

Bersatu hari ini mengkritik Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) selepas mengenakan kompaun pemilik perniagaan bukan Islam kerana memakai pakaian "kurang sopan", sambil menyifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku dan menyalahi undang-undang serta boleh menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, tindakan MPKB menghukum wanita berkenaan hanya kerana memakai baju-T dan seluar pendek adalah tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat undang-undang kecil.

"Seksyen 102 hanya membenarkan majlis membuat undang-undang kecil berkaitan 'kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan'. Tiada kuasa diberikan untuk mengawal pakaian atau moral," katanya.

Beliau menambah meskipun enakmen syariah boleh mengawal pakaian orang Islam, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. 

"Oleh itu, kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik perniagaan wanita bukan Islam adalah terbatal dan menyalahi undang-undang. 

“Cara terbaik untuk majlis adalah membatalkan kompaun dan menggantung penggunaan Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 sementara menunggu semakan oleh pihak berkuasa negeri atau exco."

Dalam kenyataannya beliau menambah standard yang dikenakan ke atas wanita Islam untuk menutup "aurat", atau bahagian badan yang tidak boleh didedahkan mengikut tatacara berpakaian Islam, tidak boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam. 

"Perkataan 'sopan' dalam Seksyen 34 (2)(b) adalah samar dan terbuka kepada pelbagai tafsiran," katanya. 

"Adalah tidak adil untuk mengenakan kompaun kepada wanita itu apabila takrifan kesalahan itu tidak jelas."

Beliau juga berkata sama ada pakaian wanita itu sopan atau tidak adalah perkara subjektif. 

"Untuk memastikan bahawa pakaian itu 'tidak senonoh' pasti memerlukan beberapa tahap kelucahan yang lebih daripada sekadar berpakaian kemeja-T dan seluar pendek, seperti, contohnya, separa bogel. Ini jelas tidak berlaku."

Menyifatkan kompaun itu sebagai "tidak wajar", beliau berkata ia juga boleh menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama.

"Ia juga boleh dianggap sebagai tidak adil kerana ia nampaknya menyasarkan wanita secara eksklusif," katanya.