- Iklan -
Berita

Golongan radikal, pelampau sudah lama keluar parti, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata parti itu kini diketuai oleh pemimpin yang neutral dalam pemikiran dan kepimpinannya iaitu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden PAS Idris Ahmad ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, 24 Jun.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, 24 Jun.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyangkal dakwaan segelintir pihak yang berterusan menuduh parti itu sebagai "radikal" dan pelampau agama, mengatakan golongan tersebut sudah lama meninggalkan perjuangan parti.

Berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) hari ini, beliau berkata parti itu kini diketuai oleh pemimpin yang neutral dalam pemikiran dan kepimpinannya iaitu Presiden PAS Abdul Hadi Awang. 

"Dari dulu lagi apabila berlakunya macam-macam reformasi, perarakan dan sebagainya Tuan Guru Haji Hadi kata boleh buat.

"Tapi ada hadnya," katanya.

Mengulas lanjut, Idris turut mengimbas kembali kepada peristiwa PAS menolak untuk menyertai himpunan Bersih 4 pada Ogos 2015 yang turut menyaksikan jumlah kehadiran merosot berbanding siri-siri himpunan sebelumnya.

Ini kerana katanya, PAS menjadi pihak yang menggerakkan orang ramai dan peserta dari peringkat bawah.

Katanya, peserta dari kawasan pendalaman seperti di Jeli, Gua Musang dan Baling mengambil masa satu bulan untuk kumpul duit hanya kerana mahu menyertai demonstrasi di Kuala Lumpur.

"Begitu juga yang kata PAS suka kafirkan orang. Dah keluar PAS dah.

"Mereka cuba nak gambarkan kononnya PAS tak boleh berkawan dengan orang.

"Dua hari lepas menteri dalam negeri, bukan orang lain kawan universiti saya beri amaran kepada pembangkang (supaya) jangan main isu 3R," katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang memberi peringatan kepada parti politik tidak berpolitik gaya 3R. 

Bagaimanapun, Idris mempersoalkan apa yang menjadi masalah apabila pihak pembangkang membangkitkan isu agama (Religion), kaum (Racist) mahupun mengenai kuasa Raja-raja Melayu (Royalist) kerana sudah jelas perkara-perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Ini termasuklah agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa orang Melayu.

"Mereka tahu dalam isu ini, mereka terkebelakang," katanya.