- Iklan -
Berita

Tiada kontroversi dalam soal penggantian Acryl Sani, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata, soal penggantian jawatan Acryl Sani Abdullah Sani kepada timbalannya Razarudin Husain ialah satu proses biasa.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama

Seorang pegawai polis mahupun penjawat awam yang dilantik secara kontrak boleh ditamatkan atau dipendekkan perkhidmatannya pada bila-bila masa, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sehubungan itu, soal penggantian jawatan Ketua Polis Negara (KPN) yang sebelum ini disandang oleh Acryl Sani Abdullah Sani kepada timbalannya Razarudin Husain ialah satu proses biasa.

“Tiada kontroversi. Saya sendiri sebelum ini dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), kemudian diikuti Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan perkara ini diuruskan dengan begitu baik sekali.

“Saya juga telah bercakap dengan Acryl Sani … dan esok (hari ini) kita akan melakukan majlis serah terima tugas di Pulapol (Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur), jadi tiada apa-apa yang kontroversi,” katanya pada Sesi Eksklusif Editor Media Bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang pelantikan Razarudin sebagai KPN yang baharu menggantikan Acryl Sani berkuat kuasa esok seperti yang diumumkan beliau dalam satu kenyataan semalam. 

Acryl Sani sebelum ini dilantik sebagai KPN secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 selepas beliau bersara dan sepatutnya tamat Oktober tahun ini.

Saifuddin Nasution menjelaskan secara prinsipnya, sesiapa sahaja pegawai polis yang berpangkat Komisioner Polis (CP) layak untuk dilantik sebagai KPN mahupun Timbalan Ketua Polis Negara.

“PDRM mempunyai seramai 25 pegawai berpangkat CP. Mereka ini ialah kelompok bakat untuk menjawat dua jawatan ini, ketika ini mereka menduduki jabatan-jabatan yang ada di Bukit Aman, menjadi Ketua Polis Negeri atau berada di cawangan khas.

“Pada masa yang sama, kita ada 47 pegawai polis berpangkat Timbalan Komisioner Polis (DCP), inilah bakat pegawai polis yang ada yang akan dilibatkan jika ada penggantian untuk jawatan,” katanya.

Beliau berkata mereka akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk integriti, kefahaman yang baik tentang keamanan dan ketenteraman awam, selain pengalaman dan kelulusan akademik.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Acryl Sani atas khidmat yang diberikan sepanjang menjadi Ketua Polis Negara.

“Saya selesa dengan tahap kerjasama dengannya, dia sangat kondusif, tidak susah bekerja dengan beliau yang banyak menguruskan tentang soal keamanan dan ketenteraman awam secara profesional sepanjang pasukan polis berada di bawah kepimpinannya,” katanya.