- Iklan -
Berita

Beri kelonggaran pilih pakaian seragam harian, kata jururawat

Jururawat nafi pakaian seragam mengikut acuan Barat, tetapi Malaysia tidak mempunyai acuannya sendiri.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Jururawat menghadiri acara sempena Hari Jururawat Sedunia di Kuala Lumpur pada 12 Mei 2022. Gambar: Bernama
Jururawat menghadiri acara sempena Hari Jururawat Sedunia di Kuala Lumpur pada 12 Mei 2022. Gambar: Bernama

Beberapa jururawat tampil menghembuskan nafas lega apabila isu pakaian seragam mereka menjadi bualan orang awam sejak minggu lalu selepas kenyataan seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, masing-masing menyatakan pakaian seragam sememangnya menjadi isu yang belum selesai meskipun masalah yang sama seringkali dibangkitkan kepada pihak atasan mahupun persatuan. 

Ini termasuklah isu potongan baju yang menampakkan bentuk badan, penggunaan pakai seragam untuk tugasan luar fasiliti kesihatan dan kebebasan untuk memilih jenis pakaian seragam ketika bekerja. 

Seorang jururawat wanita mahu dikenali sebagai Wati berkata, dia pernah berkhidmat di klinik kesihatan dalam kawasan pedalaman Pahang selama enam tahun. 

Di sana, katanya, dia perlu masuk ke kawasan penempatan orang asli untuk membuat lawatan ke rumah khususnya melibatkan rawatan ibu dan bayi. 

"Ada rakan-rakan pula kena masuk ke kampung orang asli untuk hantarkan ubat tibi. 

"Kadang-kadang kena panjat semak samun dan belukar guna uniform putih jururawat. 

"Sangat tak selesa dan baju selalu juga terkoyak sebab potongan baju yang  ikut badan ataupun tercarik sebab kena duri atau dahan pokok," katanya kepada  sambil menambah baju seragam jururawat walaupun dijahit besar dariapada saiz badan tetap akan menampakkan bentuk badan. 

"Sebab memang dah designnya begitu," katanya. 

Dalam pada itu, seorang jururawat lelaki yang berkhidmat di Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat, Johor juga mengatakan hal yang sama mengenai pakaian seragamnya. 

Mahu dikenali sebagai Nas, dia bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor supaya mereka dibenarkan untuk memilih pemakaian yang selesa semasa bertugas.

"Tak ada isu uniform misi di Malaysia ni ikut acuan Barat atau sebagainya. 

"Tapi kita tak ada acuan sendiri, jururawat di Malaysia tak standardize uniform yang boleh dipakai. 

"Ada hospital universiti pakai uniform acuan mereka, fasiliti KKM guna uniform putih. Ada hospital swasta benarkan pakai baju scrub," katanya kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, kedua-dua mereka memberitahu dalam kalangan jururawat amat berbesar hati sekiranya mereka dibenarkan untuk memilih jenis pakaian seragam ketika menjalankan tugas. 

Sejak minggu lalu, isu pakaian seragam jururawat menjadi satu polemik di Malaysia apabila Wan Razali ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah. 

Sementara itu, Persatuan Jururawat Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin menafikan dakwaan Wan Razali. 

Katanya, reka bentuk pakaian seragam jururawat itu memudahkan pergerakan jururawat dalam melakukan tugas harian mereka selain ianya turut mematuhi kod pakaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

"Isu pakaian ketat adalah isu terpencil dan tidak mencerminkan jururawat di Kementerian Kesihatan secara keseluruhan. 

"Teguran sempit secara tidak langsung akan menjejaskan semangat kita," kata kenyataan itu. 

Dalam pada itu, Wan Razali menegaskan bahawa tujuannya menyentuh isu pemakaian jururawat adalah kerana terdapat pihak yang menggesa supaya ianya dibawa kepada perhatian Dewan Rakyat. 

Katanya, beliau sebelum ini juga pernah menyentuh pelbagai isu melibatkan kesihatan yang mana tindakan positif telah diambil oleh pihak kementerian, menyebabkan dia hanya tumpu kepada beberapa isu yang tidak disentuh ahli Parlimen lain. 

"Justeru, apa yang saya sebut dalam Parlimen bukan sebab suka-suka. Saya luahkan apa yang telah diluahkan kepada saya. 

"Walaupun perkara ini dianggap sebagai remeh bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ini adalah satu amanah yang telah diberikan kepada saya," jelas beliau dalam sesi Live TikTok Pemuda PAS Pahang minggu ini. 

Terdahulu, dalam ucapannya di Parlimen, beliau turut menggesa KKM meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. 

Beliau memetik contoh di dua hospital di Kelantan (Hospital Universiti Sains Malaysia) dan Pahang (Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah) yang mengambil inisiatif memberi pilihan kepada kakitangan wanitanya mengenakan pakaian yang lebih sesuai.