- Iklan -
Luar Sana

Doktor, jururawat Indonesia bantah cadangan pindaan undang-undang penjagaan kesihatan

Sekurang-kurangnya lima kesatuan melahirkan kebimbangan dengan alasan ia mungkin memberi kesan buruk kepada pekerja dalam sektor kesihatan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pengamal perubatan mengambil bahagian ketika membantah pindaan rang undang-undang kesihatan di luar bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta, Indonesia, 5 Jun. Gambar: Reuters
Pengamal perubatan mengambil bahagian ketika membantah pindaan rang undang-undang kesihatan di luar bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta, Indonesia, 5 Jun. Gambar: Reuters

Ratusan doktor dan jururawat Indonesia semalam menggesa ahli Parlimen untuk menghentikan perbincangan mengenai cadangan pindaan undang-undang penjagaan kesihatan yang akan melemahkan perlindungan kepada pengamal perubatan.

Parlimen Indonesia pada Februari mencadangkan pelbagai pindaan terhadap undang-undang penjagaan kesihatan semasa, termasuk memudahkan pesakit membawa tuduhan jenayah terhadap pengamal perubatan kerana penyelewengan dan membenarkan bakat asing menggantikan kekurangan kakitangan di negara Asia Tenggara itu. 

Menurut kerajaan pindaan itu perlu untuk menyelaraskan undang-undang ketika ini. 

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, undang-undang baharu itu bertujuan meningkatkan perkhidmatan di negara berpendapatan sederhana itu. 

Namun, sekurang-kurangnya lima kesatuan melahirkan kebimbangan dengan alasan ia mungkin memberi kesan buruk kepada pekerja dalam sektor kesihatan.

"Kebimbangan kami adalah mengenai kepastian dan perlindungan undang-undang," kata Ketua Persatuan Perubatan Indonesia, Mohammad Adib Khumaidi, yang menyertai protes di luar Parlimen semalam.

Ketua Persatuan Doktor Gigi, Usman Sumantri, mempersoalkan sama ada terdapat piawaian ditetapkan untuk memastikan doktor asing mampu meningkatkan tahap penjagaan kesihatan di Indonesia, yang sudah bergelut dengan kekurangan pekerja, terutamanya pakar. 

"Kita perlu mempertimbangkan sama ada ini boleh memberi kesan negatif kepada pekerja Indonesia," katanya. 

Setakat ini, tidak dapat dipastikan bila Parlimen akan memuktamadkan undang-undang itu.