- Iklan -
Berita

Putrajaya rahsiakan jumlah kuota tambahan haji

Keputusan rayuan kedua Malaysia untuk menambah kuota sepatutnya diketahui pada bulan Mei.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Jemaah menunggu untuk menunaikan solat di depan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.
Jemaah menunggu untuk menunaikan solat di depan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.

Selepas terus didesak, Putrajaya bertindak merahsiakan kuota tambahan jemaah haji selepas kemuka rayuan kedua meminta kuota 10,000 daripada kerajaan Arab Saudi.

Ini berlaku ketika Malaysia sebelum ini berjaya mendapatkan kembali kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 dengan tambahan pertama sebanyak 350 jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan Malaysia sudah pun menerima keputusan rayuan tersebut.

"Kuota tambahan ada tetapi tidak dimaklumkan kerana menghormati hasrat kerajaan Arab Saudi," katanya kepada MalaysiaNow.

Rayuan kuota tambahan haji itu sepatutnya diketahui pada bulan Mei.

Kuota jemaah haji setiap negara adalah pada kadar 0.1% daripada jumlah penduduk negara berkenaan, seperti yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Malaysia memohon tambahan kuota itu ekoran pertambahan populasi penduduk negara ini yang kini mempunyai 31.95 juta penduduk.

Pada Mac, lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dikritik hebat apabila beliau gagal bertemu dengan pemimpin-pemimpin utama kerajaan tersebut.

Sejak sekian lamanya, isu kuota haji menjadi antara topik penting yang sering dibangkitkan dalam pertemuan antara pemimpin Malaysia dan Arab Saudi.

Sebelum ini, berita lawatan rasmi tiga hari Anwar ke Arab Saudi berakhir tanpa sebarang pertemuan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Tidak lama kemudian diikuti dengan komen bertubi-tubi daripada pemimpin pembangkang, dengan media sosial dibanjiri sindiran mengenai lawatan itu.

Laporan Bernama berkata pertemuan itu tidak dapat berlangsung kerana putera mahkota itu mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan.

Terdahulu, Arab Saudi memberikan tambahan 10,000 kuota selepas wabak Covid-19 hasil pertemuan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Mohammed yang juga perdana menteri Arab Saudi.