- Iklan -
Berita

PN mendahului kerusi di Selangor, kata Azmin

Pengerusi PN Selangor itu berkata, data tersebut adalah berdasarkan laporan daripada polis yang dikemukakan kepada Putrajaya.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Perikatan Nasional dilihat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.
Bendera Perikatan Nasional dilihat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Perikatan Nasional (PN) sedang mendahului jumlah kerusi di Selangor menjelang Pilihan Raya Negeri (PN) yang akan berlangsung tidak lama lagi, kata Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, data tersebut adalah berdasarkan laporan daripada polis yang dikemukakan kepada Putrajaya.

Beliau mendakwa, laporan ini menyebabkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berasa bimbang dan lambat mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setakat malam ini (semalam), laporan daripada pihak polis yang telah dikemukakan kepada Putrajaya, PN telah mendahului dari jumlah kerusi di Selangor," katanya pada Ceramah Selangor Baru Perikatan Nasional Gempur Kuala Langat.

"Sebab itu Amirudin susah nak umumkan tarikh pembubaran.

"Satu hari itu penting bagi dia, talian hayat bagi dia. Tetapi sudah pun diumumkan, kerja kuat, catatkan satu lagi kejayaan, Insya Allah Selangor jadi milik PN."

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk membubarkan DUN Selangor pada 23 Jun untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Terdapat 56 kerusi DUN di Selangor yang mana 41 disandang Pakatan Harapan (PH), PN (tujuh), Barisan Nasional (lima) manakala tiga lagi dimiliki Pejuang.

Dalam pada itu, Azmin turut menyifatkan pembubaran DUN yang diumumkan oleh istana sebagai pelik apabila kebiasaannya ia kebiasaannya diumum oleh menteri besar.

"Ramai tanya saya kenapa istana yang bubar?

"Sebab yang ada di pejabat tingkat 21 itu lembab. Tidak ada keyakinan diri. 

“Orang lain dah umum kamu (menteri besar) tak umum.

“Oleh itu, biarlah aku umum," kata Azmin ketika mengulas sebab di sebalik pengumuman tarikh pembubaran DUN yang dibuatnya sebelum ini.