- Iklan -
Berita

Amanah guna formula perpaduan tawan Kedah pada PRN

Timbalan menteri pertahanan itu berkata beliau yakin melalui formula perpaduan dan kesepakatan Amanah serta rakan-rakan parti politiknya dalam Kerajaan Perpaduan, peluang untuk merampas negeri Kedah adalah besar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Amanah di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Logo Amanah di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Parti Amanah akan menggunakan formula ‘perpaduan’ bagi mendukung rakan-rakan politiknya dalam kerajaan campuran untuk bersama-sama merampas Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Naib Presidennya Adly Zahari.

Timbalan menteri pertahanan itu berkata beliau yakin melalui formula perpaduan dan kesepakatan Amanah serta rakan-rakan parti politiknya dalam Kerajaan Perpaduan, peluang untuk merampas negeri Kedah adalah besar.

“Saya yakin formula perpaduan ini boleh memberikan banyak ruang bukan sahaja pertahankan tiga negeri (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) malah ambil kembali Kedah, dan dalam masa yang sama menang di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (program RPEL) dan Sijil Perhebat, kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Jubli Perak, Kompleks Perhebat, Kem Sungai Buloh, di Sungai Buloh.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan antara Khairy Jamaluddin dengan pemimpin utama kerajaan campuran serta Perikatan Nasional, Adly berkata ia adalah cara terbaik untuk menentukan masa depan dan karier politik bekas menteri kesihatan berkenaan.

“Terpulang kepada beliau (Khairy) untuk memilih parti yang mana ingin disertainya. Kerajaan Perpaduan memiliki kelebihan tersendiri kerana amalan mengambil kira pandangan daripada semua pihak.

"Saya berpandangan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah amat baik kerana ia mengambil kira semua pandangan dan semangat perpaduan sejak dari awal,” katanya.

Masa depan karier politik Khairy kembali diperkatakan selepas media tempatan melaporkan mengenai kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Anwar.

Kehadiran Khairy dalam perbincangan bersama beberapa tokoh perniagaan dan pakar ekonomi, termasuk Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani itu menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama kerajaan campuran, selepas dipecat daripada Umno pada 27 Januari lepas.