- Iklan -
Berita

MB Selangor yakin pertahan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata prestasi dan kekukuhan kerajaan negeri dapat membantu Pakatan Harapan mempertahankan pentadbiran semasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) mengadakan sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 19 Jun. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) mengadakan sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 19 Jun. Gambar: Bernama

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yakin bahawa prestasi dan kekukuhan pentadbiran kerajaan negeri yang ditonjolkan Pakatan Harapan (PH) mampu membantu mereka mempertahankan pentadbiran semasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. 

Beliau yang juga pengerusi PH Selangor berkata sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran, tiada isu-isu besar yang dibangkitkan dalam kalangan komponen parti di peringkat negeri, sekali gus menunjukkan bahawa pentadbiran negeri kukuh.

“Tidak mustahil kita mengulangi kejayaan 2018 (PRU14) dengan kemenangan lebih 50 kerusi. Setakat ini, kita sangat positif dan yakin. Insya-Allah boleh kekal (pentadbiran) dengan majoriti dua pertiga,” katanya dalam sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya, di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun katanya PH Selangor tidak akan memandang rendah usaha dan impian Perikatan Nasional (PN) yang mahu merampas negeri itu pada PRN kelak.  

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini memberi perkenan untuk DUN Selangor dibubarkan berkuat kuasa Jumaat ini (23 Jun) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu Amirudin berkata beliau dan barisan exco akan bertindak sebagai kerajaan sementara (caretaker goverment) selepas DUN dibubarkan Jumaat ini sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak.