- Iklan -
Berita

5,000 penjawat awam lantikan kontrak di Selangor diserap ke jawatan tetap, kata MB

Menteri Besar Amirudin Shari berkata jumlah itu menunjukkan kadar penyerapan ke jawatan tetap adalah tinggi bertepatan saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor (SPN).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bercakap kepada media selepas satu acara di Shah Alam, 18 Jun. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bercakap kepada media selepas satu acara di Shah Alam, 18 Jun. Gambar: Bernama

Sebanyak 5,000 daripada 7,000 penjawat awam lantikan kontrak kerajaan Selangor diserap ke jawatan tetap setakat ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata jumlah itu menunjukkan kadar penyerapan ke jawatan tetap adalah tinggi bertepatan saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor (SPN).

“Kebanyakan diserap adalah individu berpengalaman daripada pelbagai jawatan antaranya Pegawai Tadbir Diplomatik yang sebahagian besarnya diserap oleh perjawatan peringkat persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Shah Alam semalam.

Amirudin berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah tidak melaksanakan praktis pekeliling Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak namun pekeliling tersebut tidak dibatalkan.

Katanya, pelantikan tetap menerusi pekeliling tersebut juga sudah tidak menjadi amalan di kebanyakan negeri. 

“Saya ingat, mungkin ada salah faham bila kita batalkan pekeliling, ia jadi isu. Negeri lain tidak batal pekeliling dan tidak melaksanakan pun. Itu maklum balas awal, biar saya dapatkan (maklumat lanjut) daripada JPA,” katanya. 

Pada 13 Jun lepas, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyemak semula keputusan pembatalan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Jumaat lepas untuk dibincangkan, dan keputusannya akan dimaklumkan oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri. 

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) dalam kenyataan turut meluahkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan Selangor yang disifatkan sebagai drastik dan seakan-akan tidak menghargai sumbangan kakitangan kontrak dalam kerajaan.