- Iklan -
Berita

Mohon pengampunan diraja bukan bermakna seseorang itu tidak bersalah, kata Anwar

Perdana menteri berkata beliau percaya mahkamah yang mensabitkan Najib Razak bersalah bertindak bebas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata permohonan pengampunan diraja yang dikemukakan bekas presiden Umno, Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara bukan bermakna beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan terhadapnya.

“Apabila anda memohon pengampunan, ia bukan bermakna anda menganggap diri anda tidak bersalah,” kata Anwar, yang turut dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja pada 2018 atas sabitan dan hukuman atas kesalahan meliwat, dalam satu wawancara bersama program 101 East Al Jazeera semalam.

Anwar berkata beliau percaya mahkamah yang mensabitkan Najib bersalah bertindak bebas. 

"Saya menyokong keputusan mahkamah. Dan saya percaya mahkamah bebas," tambahnya. 

Najib, yang disabitkan pada 2020 atas kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.

Pada Mac, Mahkamah Persekutuan menolak semakin kehakiman yang difailkan Najib atas sabitan dan hukumannya, sekali gus meneruskan kempen penyokongnya dalam Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja. 

Pada April, Anwar mengakui bahawa beliau akan menjadi sebahagian daripada anggota Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan untuk Najib. 

Anwar berkata tidak wujud konflik kepentingan dengan beliau yang terlibat dalam proses pengampunan bagi seorang pemimpin daripada parti yang membentuk sebahagian daripada kerajaan campurannya.

"Ada proses, dan saya menghormati proses itu. 

“Sesiapa sahaja, mana-mana banduan, berhak merayu kepada Agong dan memohon pengampunan. 

“Mengapa menafikan hak Najib? Biarkan proses itu berjalan," katanya.

Awal bulan ini, perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno, ketika Anwar menjadi tetamu jemputan, berdiri menyokong gesaan untuk mendapatkan "keadilan" bagi Najib. 

Perwakilan membawa sepanduk mendesak agar beliau dibebaskan, manakala Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meminta keluarga Najib supaya bersabar.

Penganalisis menegaskan gesaan untuk mendapatkan pengampunan Najib adalah sebahagian daripada ganjaran politik yang dituntut Umno sebagai pertukaran kepada langkah parti itu untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri tahun lepas. 

Mereka juga memberi amaran Anwar boleh hilang segala-galanya jika pengampunan diraja tidak dapat dicapai. 

Rakan sekutu Anwar DAP dan Amanah setakat ini menjauhkan diri daripada kempen Umno untuk membebaskan Najib, dengan mengatakan ia bukan pendirian kerajaan.

Pemimpin utama dalam kedua-dua parti itu juga secara terbuka mengutuk sebarang tindakan untuk memberi pengampunan kepada Najib, yang menjadi sasaran serangan mereka dalam dua pilihan raya umum lepas.