- Iklan -
Berita

Tangguh cadangan naik kadar bayaran perkhidmatan kesihatan, gesa Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana rakyat ketika ini masih sengsara ekoran kenaikan kos harga barangan keperluan, kadar inflasi dan OPR.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pesakit sedang menunggu giliran mengambil ubat di kaunter farmasi sebuah klinik kesihatan di Ampang, Selangor.
Pesakit sedang menunggu giliran mengambil ubat di kaunter farmasi sebuah klinik kesihatan di Ampang, Selangor.

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menangguhkan dulu dan meneliti semula cadangan untuk menaikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, ahli Parlimen Pagoh itu berkata kenaikan kadar itu akan menambah beban terhadap rakyat yang kini sedang bergelut akibat kenaikan harga barangan, kadar inflasi dan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR)

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut berharap kerajaan boleh mengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan bayaran rawatan kesihatan bagi meringankan beban mereka.

"Tetapi kita tahu melalui kajian yang dibuat, ramai mereka yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak," katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan.

"Dalam beberapa kajian yang saya lihat, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu. Dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.

"Justeru, jika ada cadangan kerajaan menaikkan kadar bayaran rawatan di kemudahan kesihatan awam, saya minta supaya ia ditangguhkan dulu dan diteliti semula."

Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyebut bahawa kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula

Menurut dokumen 57 halaman itu, struktur fi sedia ada telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menyambut baik cadangan kerajaan meningkatkan pembiayaan kesihatan daripada pelbagai sumber secara berperingkat kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Malah, katanya, cadangan itu adalah satu perkara yang terkandung dalam manifesto PN pada Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lalu.

"Saya faham bahawa dalam keadaan berhadapan dengan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, maka sumber lain perlu dicari untuk menampung perbelanjaan kerajaan termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

"Namun, saya mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat," tambahnya.