- Iklan -
Berita

'Kerja tuhan' gegarkan Dewan Rakyat

Ia selepas kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai Islam menimbulkan salah faham dalam kalangan ahli Parlimen.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama

Perbahasan Dewan Rakyat sebelum sesi rehat tengah hari bertukar “tegang” apabila timbul salah faham melibatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai Islam sebagai agama yang sempurna dan menekankan unsur kemanusiaan dan perdamaian.

Ketika menjawab sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tahun 2020, beliau menegaskan sebagai seorang Muslim yang melafazkan kalimah syahadah, beliau cuba menjadi penganut yang baik dan mengikuti ajaran yang ditetapkan agama.

“Saya yakin Islam sebagai agama yang sempurna dan agama sempurna ini adalah agama yang menganjurkan kita buat baik, jauhi kemungkaran dan berlaku adil kepada semua.

“Bukan hanya kepada Muslim kita sahaja, itu asas.

“Kerana keyakinan inilah saya sebutkan bahawa kalau kita menjadi Muslim yang baik, dalam berpolitik sudah tentu kita faham asas-asas ini,” katanya.

Kenyataan panjang lebar Saifuddin kemudiannya menerima celahan daripada Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dari Perikatan Nasional (PN) yang menyifatkan sebahagian daripada jawapan menteri itu sebagai “mengarut” dan mempunyai unsur fitnah kepada pihak tertentu.

Ketika itu, Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Saifuddin mempersoalkan, di manakah kenyataannya bahawa Islam sebagai agama yang sempurna dan agama perdamaian sebagai sesuatu yang fitnah.

Bagaimanapun, Zulkifli merujuk kepada kenyataan awal menteri itu yang mengatakan terdapat pihak cuma meletakkan naratif beza pegangan politik seolah-olah berbeza akidah sehingga menjadi satu trend baru dalam senario politik negara.

Saifuddin ketika menjawab perbahasan laporan itu menegaskan situasi tersebut wujud dan ianya dikategorikan sebagai isu “race” (kaum) dan “religion” (agama).

“Tak sokong kita,(ertinya) tak beriman, tak berakidah.

“Kita buat kerja tuhan. Ini pun satu masalah baru dalam negara kita,” katanya sebelum dicelah Zulkifli.

Zulkifli menegaskan kenyataan yang dibuat oleh Saifuddin boleh mencetuskan pertembungan konflik dan salah faham dalam kalangan rakyat.

Sebaliknya, sesi menjawab dan perbahasan laporan Suhakam itu sepatutnya digunakan bagi menyelesaikan isu hak asasi, ekonomi, kebajikan dan sosial yang dihadapi oleh masyarakat.

Keadaan bertambah kecoh apabila beberapa ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang ingin menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing mengenai apa yang dimaksudkan oleh Zulkifli.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dari DAP pula menyelar Zulkifli mengatakan celahannya itu sebagai biadap kepada agama.

Kenyataan itu disambut oleh Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim dari PN yang menegaskan Rayer tiada hak dan autoriti untuk masuk campur mengenai perbincangan tersebut memandangkan beliau bukannya seorang penganut agama Islam.

Selepas hampir lima minit bertikam lidah, Zulkifli dan Rayer masing-masing akur dengan arahan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor supaya menarik balik kenyataan dan dakwaan tersebut.