- Iklan -
Berita

Pemimpin DAP terus serang Mahathir

RSN Rayer berkata bekas perdana menteri itu perlu disiasat sama seperti Karpal Singh yang didakwa menghasut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
RSN Rayer dan Dr Mahathir Mohamad.
RSN Rayer dan Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir Mohamad, menuduh bekas perdana menteri itu memperkecilkan kerabat diraja.

Rayer berkata, Mahathir tidak sepatutnya mendapat layanan istimewa hanya kerana beliau telah dianugerahkan gelaran "Tun".

"Tidak ada sebarang pertuduhan dibuat, kenapa?

"Dua kali diberi anugerah darjah kebesaran sebagai Tun oleh kerabat diraja. Kita memilih beliau perdana menteri kali kedua. Tetapi beliau telah mengambil kesempatan menghentam dan mengkritik kerabat diraja."

Sebaliknya, Rayer berkata, bekas pemimpin DAP mendiang Karpal Singh didakwa menghasut kerana mengkritik penglibatan Raja-raja Melayu dalam urusan negeri. 

Dia dibebaskan pada 2019, lima tahun selepas kematiannya. 

Rayer dalam pada itu mempersoalkan kenyataan pemimpin pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Mahathir dengan hadir bersamanya pada sidang media baru-baru ini.

"Kenapakah mereka bersama-sama dengan beliau dalam sidang akhbar itu mendiamkan diri, membenarkan mantan ahli Parlimen Langkawi (Mahathir) menghentam dan mengkritik kerabat diraja?" soal beliau.

Rayer sebelum ini menggesa supaya tindakan diambil terhadap Mahathir pada 6 Jun. 

Bercakap di Dewan Rakyat, beliau mengkritik bekas pemimpin itu berhubung laporan bahawa beliau telah mengkritik institusi diraja.

Rayer juga memberi amaran bahawa Mahathir dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mungkin bersatu semula susulan laporan berita MalaysiaNow baru-baru ini.

"Kedua-dua mereka ini ingin menghancurkan negara kita dan tidak mahu membenarkan Tambun (Anwar Ibrahim) daripada melaksanakan tugas untuk menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Sambil menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menarik balik gelaran "Tun" Mahathir, beliau berkata polis harus bertindak terhadapnya jika beliau terus menyerang kerabat diraja.

Mahathir sebelum ini berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Muhyiddin jika mereka dapat mencapai kata sepakat mengenai matlamat bersama. 

Sementara itu, Muhyiddin mengalu-alukan tawaran Mahathir itu, sambil berkata beliau bersedia bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.