- Iklan -
Berita

Umno pikul peranan besar dapatkan sokongan Melayu dalam 6 PRN, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata, ini terutamanya untuk berdepan dengan negeri-negeri yang dikategorikan sebagai 'Jalur Melayu' iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi percaya parti itu sedang memikul peranan yang amat berat dalam komponen parti-parti kerajaan campuran bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Menurut Zahid, ini terutamanya untuk berdepan dengan negeri-negeri yang dikategorikan sebagai “Jalur Melayu” iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan yang disifatkannya sebagai negeri yang patut menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan campuran sekali gus mencerminkan wajah Malaysia.

Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2023, Zahid berkata negeri Kelantan dan Kedah sangat memerlukan perubahan besar di mana pengurusan negeri yang “bersih” secara “luar dan dalam”.

“Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba,” katanya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan desa dan wilayah, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kanan) hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena pembukaan Perhimpunan Agung Umno 2023 hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kanan) hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena pembukaan Perhimpunan Agung Umno 2023 hari ini. Gambar: Bernama

Beliau berjaya mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal, bagi tujuan menjalankan tugas rasminya di luar negara. 

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan.

Pada September tahun lalu, Zahid dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Mengulas lanjut, Zahid turut menegaskan hasrat Umno dan Barisan nasional (BN) yang ingin dicapai pada PRN akan datang adalah pembahagian pentadbiran negeri mengikut parti-parti teras dalam kerjasama di enam negeri yang terlibat.

“Kita mahu wakil Umno (ada) dalam ketiga-tiga negeri.”

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan berlaku pergolakan dalaman bagi rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan sekutu barunya BN berikutan tekanan yang semakin meningkat terhadap Amanah untuk menyerahkan kerusinya kepada calon Umno pada PRN akan datang.

Ini susulan timbul kebimbangan terhadap cubaan untuk menggantikan parti itu yang dilihat sebagai komponen "Melayu" dan "Islam" PH – dengan Umno, musuh yang menjadi sekutu selepas memberi sokongannya dalam pelantikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lalu.