- Iklan -
Berita

Tiada permohonan maaf, tak perlu ungkit kisah silam, kata DAP

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menggesa semua pihak dalam kerajaan campuran untuk “move on” daripada persengketaan lama.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke tidak menyampaikan sebarang permohonan maaf daripada partinya kepada Umno, setelah digesa berbuat demikian oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh. 

Sebaliknya, Loke yang juga menteri pengangkutan itu menggesa semua pihak dalam kerajaan campuran untuk “move on” daripada persengketaan lama.

Katanya, meskipun DAP menghormati pandangan Akmal, parti itu bersetuju dengan inti pati ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru semua pihak melupakan kisah silam.  

"Kalau terus berpolemik kisah-kisah silam, tak akan berkesudahan. 

“Kerajaan telah terbentuk selama enam bulan. Setakat ini tak timbul apa-apa isu berkenaan ketidakserasian," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur hari ini. 

Akmal menuntut permohonan maaf daripada DAP atas tohmahan yang dilakukan kepada parti Melayu itu ketika berucap pada sesi penggulungan pada perhimpunan agung sayap tersebut semalam.

Gesaan itu diredakan oleh Zahid apabila beliau menyatakan DAP tidak perlu mohon maaf kepada Umno. 

Pada awal pembentukan kerajaan campuran, Loke terbang ke Sarawak untuk memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas perselisihan mereka selama ini. 

Jelas beliau yang juga ahli Parlimen Seremban, semua parti perlu berlapang dada dan menumpukan cabaran-cabaran yang mendepani kerajaan campuran.  

Akmal sebelum ini menegaskan sayapnya tidak akan menjemput parti lain ke Perhimpunan Agung Pemuda Umno. 

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen lain bagaimanapun hadir ke Perhimpunan Agung Umno yang sedang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), atas jemputan parti itu.