- Iklan -
Berita

PAC lawat TLDM Lumut, mula prosiding Sabtu ini

Laporan kemajuan LCS juga akan dibentangkan setiap tiga bulan di Dewan Rakyat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja melihat KD Maharaja Lela, salah satu kapal tempur pesisir yang sepatutnya dihantar kepada tentera laut tetapi lewat disiapkan, di Limbungan Tentera Laut Boustead di Lumut, Perak.
Seorang pekerja melihat KD Maharaja Lela, salah satu kapal tempur pesisir yang sepatutnya dihantar kepada tentera laut tetapi lewat disiapkan, di Limbungan Tentera Laut Boustead di Lumut, Perak.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding perkembangan kemajuan pembinaan kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatankuasa itu, akan mengadakan lawatan ke Pangkalan TLDM di Lumut, Perak Sabtu ini, yang merupakan lokasi pembinaan LCS.

“Mengambil syor daripada PAC penggal ke-14 yang mahu Kementerian Pertahanan membentangkan perkembangan terkini kepada PAC setiap tiga bulan, PAC Parlimen Penggal ke-15 juga akan membentangkan laporan kemajuan LCS ini setiap tiga bulan, di Dewan Rakyat.

“Bagi laporan kali ini, ia akan menyentuh kemajuan pembinaan yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen semalam.

Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan, walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS). 

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata PAC akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) beberapa kementerian, bagi menghadiri prosiding berkaitan isu berbangkit melibatkan kementerian masing-masing, susulan taklimat bersama Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata KSU Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan dipanggil pada 14 Jun ini, bagi memberi penjelasan mengenai kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset, serta bayaran bagi Skim Subsidi Harga Padi.

KSU Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pula akan dipanggil pada 15 Jun, bagi menerangkan isu perolehan dan pengurusan wabak Covid-19 yang meliputi isu 1.1 juta dos vaksin telah tamat tempoh, 93 unit ventilator tidak dapat digunakan serta lebihan stok cover boot dan protective suit, katanya.

Selain itu, beliau berkata PAC turut akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan KSU Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd (Felcra) pada 27 Jun kerana penyata kewangan beraudit Felcra untuk 2019, 2020 dan 2021 masih belum dimuktamadkan. 

“PAC juga akan mendapatkan taklimat berkenaan Program Jana Wibawa daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Menyentuh mengenai prosiding PAC, Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu berharap agar prosiding akan dapat diadakan secara terbuka mulai tahun depan, selaras dengan agenda reformasi institusi kerajaan.

“Saya percaya pihak pentadbiran Parlimen Malaysia telah bersiap sedia dan mempunyai kemampuan dari segi sumber manusia dan peralatan teknologi maklumat, untuk menjalankan prosiding secara terbuka,” katanya.