- Iklan -
Berita

Singapura mohon maaf atas jenaka melampau MH370

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia berkata beliau 'terkejut' dengan kenyataan melampau Jocelyn Chia itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelawak, Jocelyn Chia.
Pelawak, Jocelyn Chia.

Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berhubung kenyataan melampau yang dikeluarkan seorang pelawak republik itu mengenai penerbangan Malaysia Airlines MH370 sewaktu persembahan di New York.

Jocelyn Chia membuat komen itu sebagai sebahagian daripada jenaka berkenaan hubungan Malaysia dengan Singapura. 

"Sekarang Malaysia, kamu cuba datang ke sana sini seperti, hey, Singapura, kamu kelihatan baiklah.

"Dan kami seperti, saya tahu. Tetapi mengapa anda tidak melawat saya selama 40 tahun? Dan anda seperti, ya, saya cuba, tetapi anda tahu, kapal terbang saya tidak boleh terbang.

"Apa, Malaysia Airlines akan hilang bukan kelakar, huh? Sesetengah jenaka tidak sampai," katanya dalam klip video yang disiarkan di media sosialnya pada 6 Jun.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon berkata beliau "terkejut" dengan "komen menyinggung perasaan" yang dibuat Chia itu, sambil menambah kerajaan Singapura tidak membenarkan tindakan yang menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.

"Chia, yang bukan lagi warga Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami," katanya.

"Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-katanya yang menyakitkan hati itu.”

MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. 

Pesawat dan 239 penumpangnya masih belum ditemui meskipun pencarian meluas di lautan melibatkan beberapa negara. 

Vanu dalam kenyataannya berkata Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan yang kukuh dari pelbagai aspek, dengan hubungan yang cukup erat.

"Kita juga mempunyai sejarah yang unik dan hubungan yang rapat antara rakyat dengan rakyat,” katanya. 

"Komen yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan menjejaskan kepercayaan dan persahabatan yang erat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyat kita." 

Dalam pada itu, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata Chia tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga penumpang MH370.

“Video ini juga jelas menggambarkan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai-nilai negara Asia yang terkenal dengan adab dan akhlaknya.

“Saya percaya ini bukan pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi yang menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.