- Iklan -
Berita

PN minta Rayer tarik balik kenyataan terhadap Mahathir, Muhyiddin atau dirujuk kepada jawatankuasa

Ia selepas ahli Parlimen Jelutong itu mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap dua bekas perdana menteri semalam.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Perikatan Nasional (PN) mahu pemimpin DAP RSN Rayer dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap dua bekas perdana menteri.

Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau sudah menghantar usul tersebut kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pagi tadi untuk diberikan tindakan selanjutnya.

Katanya, jika Rayer bersedia untuk menyelesaikan hal itu dengan mudah, lebih baik sekiranya beliau tarik balik kenyataan-kenyataan yang dibuat terhadap pemimpin-pemimpin itu. 

Semalam, Rayer ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun 2021 menuduh berlaku salah laku dalam pentadbiran kerajaan dahulu pimpinan Muhyiddin Yassin termasuk pembekalan vaksin, ventilator dan perkara lain.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan ketirisan yang berlaku bukan punca langsung daripada pelaksanaan darurat sebaliknya kesilapan tata kelola oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bukan salah darurat. 

"Kalau salah bukan sebab ada darurat. Jadi siasatlah Kementerian Kesihatan," katanya sebaik sahaja persidangan Dewan Rakyat bagi sesi petang bermula hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar gesaan Rayer yang mahukan gelaran "Tun" dilucutkan daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana beliau mengeluarkan kenyataan menghina Raja-raja Melayu. 

Wan Ahmad Fayhsal menafikan kenyataan tersebut mengatakan Mahathir disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Dan bukannya kerana menghina kepada Raja-raja Melayu.

"Jadi kenapa perlu Jelutong membangkitkan menarik balik gelaran 'Tun' daripada beliau kerana hal ini?" 

Seksyen 112 dalam Kanun Tatacara Jenayah adalah merekodkan keterangan individu berhubung sesuatu kes dan siasatan. 

Semalam, Rayer pada persidangan Dewan Rakyat menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan penarikan balik gelaran “Tun” daripada Mahathir selepas tular klip video yang mengatakan beliau mengkritik institusi diraja.

Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran "Tun" pada tahun 2003 sebaik sahaja bersara sebagai perdana menteri buat kali pertama ketika itu.