- Iklan -
Berita

Pemimpin DAP gesa kerajaan tarik balik gelaran ‘Tun’ daripada Mahathir

RSN Rayer mendakwa Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berhasrat untuk memusnahkan negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer. Gambar: Bernama

Seorang pemimpun DAP hari ini membidas Dr Mahathir Mohamad berhubung laporan yang mengatakan beliau mengkritik institusi diraja, dan menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menarik balik gelaran “Tun” daripada bekas perdana menteri itu.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer juga memberi amaran bahawa Mahathir dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mungkin bersatu semula susulan laporan berita MalaysiaNow baru-baru ini.

"Kedua-dua mereka ini ingin menghancurkan negara kita dan tidak mahu membenarkan YAB Tambun (Anwar) untuk melaksanakan tugas untuk menjaga kebajikan rakyat," Rayer memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Rayer, dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mengurniakan gelaran “Tan Sri” kepada pemimpin veteran partinya Lim Kit Siang.

Beliau turut mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan kerabat diraja daripada sebarang bentuk penghinaan.

Dalam pembelaan terhadap Raja-raja Melayu, Rayer berkata Mahathir harus berhenti menghina kerabat diraja.

Rayer berkata demikian mengulas laporan bahawa negarawan itu sedang disiasat atas ucapan mengkritik institusi diraja.

"Tolonglah hentikan serangan-serangan terhadap kerabat diraja. Tolonglah hentikan penghinaan terhadap kerabat diraja. 

"Saya minta... supaya polis tidak berkompromi dan mengambil tindakan terhadap Mahathir kalau beliau masih meneruskan serangan terhadap kerabat diraja.

"Saya juga minta kerajaan pertimbangkan supaya gelaran Tun beliau ditarik balik kalau beliau masih lagi meneruskan serangan-serangan ini. Kita lihat beliau telah membuat Proklamasi (Melayu) dan mungkin akan bekerjasama dengan YB Pagoh (Muhyiddin) yang telah mengkhianati beliau," tambahnya.

Jumaat lalu, peguam Mahathir, Rafique Rashid memberitahu bahawa polis dari Bukit Aman mengambil keterangan bekas perdana menteri itu dipercayai untuk membantu siasatan berkenaan Proklamasi Orang Melayu.

Rafique berkata, perkara ini menimbulkan tanda tanya apabila Mahathir dipercayai disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Sebelum ini, Mahathir menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu adalah untuk memperjuangkan dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kaum majoriti itu.

Malah, ia turut mendapat sambutan beberapa pemimpin dan wakil rakyat daripada PN termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau juga bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir selepas bekas perdana menteri itu memberitahu MalaysiaNow beliau bersedia untuk bekerjasama semula dengan bekas sekutunya itu.

“Saya menyambut kenyataan Mahathir yang bersedia bekerjasama dengan beliau demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam,” katanya.

“Sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.”

Mahathir, yang berundur pada 2003 selepas memimpin negara selama 22 tahun, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran "Tun", gelaran eksklusif yang hanya dikhaskan untuk 25 orang pada satu-satu masa. 

Pada 2018, beliau mencipta sejarah menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas mengetuai gabungan Pakatan Harapan menamatkan lebih enam dekad pemerintahan Barisan Nasional. 

Beliau meletak jawatan kurang dua tahun kemudian berikutan perbalahan dalaman di kalangan parti pemerintah. 

Kekosongan jawatan perdana menteri kemudiannya diisi oleh Muhyiddin, yang mengambil alih hanya sebulan sebelum bermulanya pandemik Covid-19 pada 2020.