- Iklan -
Berita

Kemerosotan ringgit tidak harus dijadikan pengukur kedudukan ekonomi, kata PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ringgit merosot berbanding dolar AS, kadar pertumbuhan ekonomi pada 2022 melebihi paras prapandemik.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengurup wang mengira wang kertas sementara pelanggan menunggu di kios pengurup wang di pusat bandar Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Seorang pengurup wang mengira wang kertas sementara pelanggan menunggu di kios pengurup wang di pusat bandar Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), atau mana-mana mata wang lain, tidak harus dijadikan pengukur kedudukan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Dalam jawapan bertulis kepada sesi Pertanyaan Perdana Menteri yang disediakan, Anwar berkata, walaupun ringgit merosot berbanding dolar AS, kadar pertumbuhan ekonomi pada 2022 melebihi paras prapandemik dan dijangka terus berkembang kukuh antara 4% hingga 5% pada tahun ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 dijangka mencapai pertumbuhan 5.6%, lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia yang dijangka mencatat pertumbuhan 5%, China (4.5%) dan Vietnam (3.3%).

"Kejatuhan kadar pertukaran ringgit yang dialami pada tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dolar AS," katanya ketika menjawab soalan diajukan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

"Selain ringgit, keadaan sama turut dialami oleh mata wang utama dan serantau seperti yen Jepun, dolar Australia, won Korea, renminbi China, dolar Singapura dan peso Filipina yang turut menunjukkan penyusutan nilai berbanding dolar AS pada tahun ini.”

Munggu lalu, ringgit menyaksikan penyusutan melebihi paras RM4.60 dan berada pada paras RM4.6110/6165 pada petang 1 Jun selepas menyaksikan penurunan empat hari berturut-turut. 

Pada Jumaat, mata wang tempatan itu kembali mengukuh sedikit apabila naik kepada  4.5745/5785 berbanding dolar AS.

Situasi ini mencetuskan kebimbangan apabila ringgit berlegar menghampiri paras terendah dalam sejarah yang dicatat pada 4 November tahun lalu apabila mata wang tempatan itu mencecah RM4.7465, melebihi paras RM4.7250 yang dicatat 7 Januari 1998 ketika negara berdepan krisis kewangan Asia.

Pagi ini, ringgit dibuka menyusut kembali ke RM4.5950/6000 berbanding dolar AS, apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati terhadap unjuran global.

Dalam menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Radzi yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Anwar mengakui kejatuhan ringgit akan memberi kesan kepada inflasi import dan ini mendorong kepada kenaikan kos.

Bagaimanapun, katanya, situasi itu dipantau oleh beberapa kementerian dengan mengambil contoh kerajaan menangani isu kekurangan bekalan ayam dan telur.

"Saya setuju dengan kenyataan bahawa ada kesan daripada inflasi import kerana kita masih import barang makanan yang agak tinggi.

"Ini menyebabkan kos meningkat tetapi ini dipantau kementerian seperti yang kita lihat ayam dan telur tidak separah tahun lalu," tambah beliau.

Pada masa sama, Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun turut menafikan kerajaan melaksanakan pengurangan subsidi dan menegaskan langkah itu hanya akan dilaksanakan terhadap golongan pendapatan tinggi (T20) bagi menampung subsidi kepada golongan pendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40).