- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat kecoh berhubung isu Pulau Pinang

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Pulau Pinang kekal sebagai negeri berdaulat dalam Malaysia seperti termaktub dalam fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. Gambar: Bernama

Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjawab isu berhubung status negeri Pulau Pinang.

Anwar memberi jaminan status Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat dalam Malaysia, dan kedudukannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu jawapan pada sesi Dewan Rakyat, beliau berkata ia termaktub dalam fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

"Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang," katanya di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan)  yang mahu tahu tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang menuntut Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Sanusi sebelum ini meminta agar Perlembagaan dipinda untuk membolehkan pulau itu diletakkan di bawah Kedah.

Sesi soal jawab turut menjadi kecoh apabila beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membangkitkan peraturan mesyuarat berhubung soalan Lim.

Menurut Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun, peruntukan-peruntukan itu adalah hasil perjanjian antara kerajaan British dan Raja-raja Melayu, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 21 Januari 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957.

Menurut Anwar lagi, satu laporan polis dibuat terhadap Sanusi mengenai ucapannya yang didakwa menimbulkan keresahan rakyat. 

"Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara akan meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis kelak bagi meneliti sama ada elemen kesalahan berjaya dibuktikan atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, desakan sama dibuat oleh Umno pada 2017. 

Justeru, tindakan yang sama perlu diambil oleh pihak dari Umno yang membuat desakan berkenaan.