- Iklan -
Berita

Anwar arah Lembaga Pengampunan tangguh dulu fail Najib, dakwa Khairy

Bekas ketua Pemuda Umno itu mengaitkan 'pergeseran' dalam kerajaan campuran dengan rasa tidak sabar yang semakin memuncak daripada penyokong Najib Razak.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Najib Razak berkumpul di hadapan Istana Kehakiman bagi menunjukkan solidariti kepada pemimpin mereka.
Penyokong Najib Razak berkumpul di hadapan Istana Kehakiman bagi menunjukkan solidariti kepada pemimpin mereka.

Pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kritikan daripada veteran utama parti itu terhadap sekutu dalam kerajaan ketika ini boleh dikaitkan dengan ketidaksabaran mereka terhadap nasib bekas perdana menteri Najib Razak.

Khairy berkata Anwar Ibrahim nampaknya semakin tersepit, malah cuba melengahkan masa bagi mengelakkan pergaduhan antara penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Najib yang mengharapkan beliau dibebaskan melalui proses mendapatkan pengampunan diraja yang melibatkan perdana menteri.

“Apa yang saya difahamkan ialah mereka cuba melengah-lengahkan masa. Mereka tak nak buat keputusan, mereka telah memberi arahan kepada Lembaga Pengampunan 'jangan bawa fail itu dulu' dengan guna apa-apa alasan.

“Mungkin ini adalah tanda-tanda ketidaksabaran penyokong ‘Bossku’,” kata Khairy dalam edisi terbaru podcast bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan dengan menggunakan gelaran terhadap Najib oleh penyokongnya.

Ini berlaku susulan pertikaian antara pemimpin Umno Johor Puad Zarkashi dan setiausaha agung Asyraf Wajdi Dusuki, selepas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menyerang Rafizi Ramli dari PKR yang gagal menguruskan portfolio ekonominya dengan baik.

Beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Shahrir Samad dan Ahli Majlis Tertinggi Nur Jazlan Mohamed, juga secara terbuka mempersoalkan pemimpin PH, yang nampaknya muncul tanda-tanda ketegangan dalam parti Melayu itu selepas enam bulan berganding bahu dengan musuh lamanya bagi membentuk kerajaan.

Najib, yang disabitkan pada 2020 atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.

Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak semakan kehakiman terhadap sabitan dan hukumannya, yang mendorong desakan oleh penyokongnya dalam Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Pada April, Anwar mengakui beliau akan menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan Najib.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu wujud perdebatan mengenai peranan perdana menteri dalam mendengar permohonan pengampunan, selepas penyokong PH berkata ia adalah budi bicara Agong. 

Peguam kanan Zainur Zakaria, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan Anwar berkata, Agong dijangka bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan. 

"YDPA (Agong) tidak bertindak sebagai mahkamah mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah," kata Zainur, sambil menambah Anwar akan menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan untuk menasihati Agong sama ada Najib perlu diberikan pengampunan atau tidak. 

Beberapa penganalisis memberi amaran bahawa tawaran baru untuk pengampunan diraja terhadap Najib boleh menimbulkan masalah kepada kerajaan campuran Anwar yang dibentuk tahun lepas selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi komitmen dengan membawa sokongan 26 ahli Parlimen dari partinya menyokong pemimpin PKR itu bagi dilantik sebagai perdana menteri.

Mereka juga menegaskan pengaruh Najib dalam Umno lebih kuat berbanding Zahid, dan proses pengampunan akhirnya akan menjejaskan presiden Umno itu.

'Orang sama di sebalik kejatuhan Muhyiddin' 

Khairy berkata Anwar dan Zahid cuba mengelak daripada membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Sebab jika mereka panggil mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan memberi nasihat kepada yang Yang di-Pertuan Agong supaya pengampunan itu perlu diberi, itu akan mengundang reaksi negatif di kalangan sebahagian rakyat terutama penyokong Pakatan Harapan.

“Kalau mereka memberi nasihat kepada Agong untuk tidak memberi pengampunan, itu akan mengundang reaksi di kalangan orang Umno dan penyokong kuat Bossku.”

Sementara itu, Shahril berkata pemimpin Umno yang mengkritik sekutu baru mereka daripada PH adalah “dibintangi oleh watak-watak sama” dalam menjatuhkan Muhyiddin Yassin pada 2021, apabila ahli Parlimen yang bersekutu dengan Najib dan Zahid menarik balik sokongan mereka kepada presiden Bersatu itu.

“Saya tak mengatakan ia akan ikut trend yang sama, tapi ia yang harus dipantau,” kata Shahril, yang berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.