- Iklan -
Berita

Polis siasat Mahathir berhubung Proklamasi Melayu, kata peguam

Bekas perdana menteri itu dipercayai disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Polis dari Bukit Aman hari ini mengambil keterangan Dr Mahathir Mohamad dipercayai untuk membantu siasatan berkenaan Proklamasi Orang Melayu, kata peguamnya, Rafique Rashid.

Dalam satu paparan video yang dihantar kepada MalaysiaNow, beliau berkata proses merakam percakapan bekas perdana menteri itu dilakukan pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur.

Katanya, perkara ini menimbulkan tanda tanya apabila Mahathir dipercayai disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Hari ini saya telah hadir untuk menemani Mahathir yang telah ditemu ramah, dirakam percakapan oleh pihak Bukit Aman kerana Tun bercerita mengenai Proklamasi Orang Melayu," katanya.

"Tun telah menyatakan bahawa beliau sedia dituduh di mahkamah dan menyatakan menjawab soalan-soalan di mahkamah."

Sebelum ini, Mahathir menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu adalah untuk memperjuangkan dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kaum majoriti itu.

Malah, ia turut mendapat sambutan beberapa pemimpin dan wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini turut mendakwa cubaan menganjurkan himpunan proklamasi itu telah disekat kerajaan apabila tempahan lokasi penganjuran dibatalkan beberapa kali.

Dalam pada itu, Rafique mempersoalkan tindakan pihak polis merakam percakapan Mahathir dan menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang sekiranya dipanggil pihak berkuasa.

"Adakah menceritakan mengenai orang Melayu atau Proklamasi Orang Melayu itu salah dari segi undang-undang?

"Kepada sesiapa yang disiasat, dipanggil atau ditemu ramah oleh pihak polis, jangan gentar, jangan takut, jawab saja seperti Tun.

"Jawab di mahkamah. Biar rakyat faham apakah itu Proklamasi Orang Melayu," tambah beliau.

MalaysiaNow sedang mendapatkan pengesahan daripada Bukit Aman dan sedang menunggu maklum balas.