- Iklan -
Berita

Bekas jurubank persoal gabenor BNM berhubung kenaikan OPR

Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata sistem kewangan itu direka untuk mengutamakan kepentingan pemilik bank.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan berhampiran logo Bank Negara (BNM) di Kuala Lumpur, 12 Mei. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan berhampiran logo Bank Negara (BNM) di Kuala Lumpur, 12 Mei. Gambar: Reuters

Gabenor Bank Negara (BNM) Nor Shamsiah Yunus dipersoal selepas mempertahankan tindakan institusi itu dalam menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata baru-baru ini, menjadikannya 3% dan menghampiri kadar pra-Covid-19 pada 3.25%.

Dalam satu surat yang disiarkan media, Nor Shamsiah berkata dasar monetari BNM bersifat “pre-emptive”, dan bukannya pra-matang.

"Ia memerlukan peningkatan OPR yang lebih besar dan lebih laju untuk menurunkan inflasi setelah dilaksanakan seperti yang dapat dilihat di negara lain," katanya. 

Beliau merujuk kepada beberapa dakwaan tentang pertumbuhan ekonomi dan beban kepada peminjam akibat peningkatan OPR baru-baru ini. 

Inflasi pada suku pertama tahun ini secara purata berada pada tahap 3.6%, berbanding 3.9% pada suku lepas.

Namun bekas jurubank Bank Islam, Muhammad Zahid Abdul Aziz daripada Gerakan Keadilan Monetari (MMJ) berkata, kaedah menggerakkan ekonomi seperti itu boleh disifatkan sebagai tindak balas berlebihan.

"Sejak bila syarikat membuat keputusan berdasarkan kadar faedah? Ada sesiapa pernah tergesa-gesa membuat pinjaman untuk syarikat mereka ketika kadar faedah rendah?" katanya kepada MalaysiaNow.

Zahid berkata, peningkatan kadar faedah akan menyebabkan syarikat membuang pekerja dan seterusnya mengurangkan kadar penggunaan.

"Mengapa kita tidak endah cara 'membunuh' inflasi dengan lebih cepat, iaitu menyalurkan wang kepada ekonomi sebenar?

“Kerana ia tidak digemari oleh bank."

BNM sebelum ini menaikkan OPR beberapa kali setelah menurunkannya ke tahap paling rendah iaitu 1.75% dalam sejarah pada 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mengkritik kenaikan OPR baru-baru ini dengan menyatakan ia hanya menguntungkan sektor perbankan.

Bagaimanapun keputusan BNM baru-baru ini dipertahankan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, ia dibuat bagi memastikan ekonomi sihat dan berkembang.

Menurut Zahid yang juga pakar dalam kewangan Islam, sistem kewangan direka untuk mengutamakan kepentingan pemilik bank sehingga menjejaskan negara dan rakyat.

"Ketidakfahaman ekonomi oleh pemimpin politik dari kedua-dua belah blok politik (mengenai sistem itu) sangat menyedihkan," katanya.

Nor Shamsiah juga berkata nilai ringgit berbanding mata wang lain ditentukan oleh pasaran.

Pada ketika ini, pergerakan dolar Amerika Syarikat (AS) menjadi faktor utama yang memberi kesan kepada ringgit.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim turut mahu Nor Shamsiah memberi penjelasan mengenai penurunan ringgit dan tidak memberikan “kenyataan gula-gula”.

Katanya, Nor Shamsiah dan pasukannya perlu menasihati perdana menteri dan Kabinet bagi menyelamatkan ekonomi serta kewangan negara.

Bagi Zahid, ringgit tiada kaitan dengan OPR.

“Turun naik bergantung kepada permintaan kepada ringgit oleh orang luar.

“Juga sama ada kita banyak mengeksport barangan, menarik ramai pelancong atau berdepan dengan spekulator," katanya.