- Iklan -
Berita

Zahid minta SKMM pantau hantaran pemimpin politik di media sosial berkisarkan kaum, agama

Timbalan perdana menteri berkata, tindakan ini mewujudkan perpecahan antara pengikut parti yang berbeza tetapi menjadi penganut agama yang sama.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memantau hantaran berkisarkan naratif kaum dan agama yang dimainkan pemimpin politik di laman sosial untuk diambil tindakan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata menurut laporan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), orang politik menggunakan isu agama dan perkauman menerusi laman sosial untuk kepentingan politik.

“(Tindakan) ini mewujudkan perpecahan antara pengikut parti yang berbeza tetapi menjadi penganut agama yang sama. Saya harap KKD melalui SKMM harus memantau tulisan yang menjurus ke arah itu,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus program Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bersama masyarakat, di Putrajaya hari ini.

Media hari ini melaporkan hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dicetuskan ahli politik, menguasai platform media sosial utama di negara ini ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

Ia antara analisis dan dapatan utama kajian Pemantauan Media Sosial Pada PRU15 oleh CIJ dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

Dalam soal pembangunan sebuah negara, Zahid berkata budaya menghormati agama dan bangsa perlu diterapkan oleh semua pihak meskipun berbeza fahaman politik.

“Kita boleh berbeza pendapat dan kita raikan dengan akhlak yang baik,” katanya dan menambah Kerajaan Perpaduan komited memperkukuh keharmonian rakyat negara ini.

Mengulas tindakan pihak yang menggunakan naratif Islam terancam dan tergugat, Zahid berkata komitmen Kerajaan Perpaduan dalam soal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah tergugat.

Sementara itu, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno sekali lagi menegaskan tidak ada sebarang langkah digerakkan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk  menawarkan PAS menyertai kerajaan. 

Katanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyebut dengan jelas semalam bahawa tidak ada sebarang keputusan, perbincangan atau orang dilantik merundingkan dan menjemput parti PAS untuk bersama dalam kerajaan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan bahawa ada beberapa pihak menghubungi dan menemuinya bagi membuat tawaran menyertai kerajaan, sama seperti yang didedahkan Presiden Abdul Hadi Awang sebelum ini.