- Iklan -
Berita

Azlinda Azman dilantik ketua pengarah pendidikan tinggi

Beliau menggantikan Husaini Omar yang bersara wajib pada 10 Mac lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman. Gambar: Facebook
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman. Gambar: Facebook

Azlinda Azman dilantik sebagai ketua pengarah pendidikan tinggi yang baharu berkuat kuasa hari ini hingga 30 Mei 2025, demikian umum Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Azlinda, 55, yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM), menggantikan Husaini Omar yang bersara wajib pada 10 Mac lepas.

KPT dalam kenyataan hari ini berkata Azlinda merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang disegani terutama dalam bidang kerja sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Kebangsaan Pendidikan Kerja Sosial Malaysia dan juga Konvenor Kumpulan Tindakan dan Penyelidikan AIDS (AARG), USM sejak 2011 itu pernah dianugerahkan Ikon Akademik Kerja Sosial oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2021. 

Azlinda juga adalah antara segelintir individu yang terpilih dan dianugerahkan Biasiswa Fulbright untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam Kerja Sosial Klinikal di New York University (NYU), Amerika Syarikat.

"Dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan yang cemerlang, kementerian yakin bahawa pelantikan Azlinda berupaya melonjak prestasi Jabatan Pendidikan Tinggi ke tahap yang lebih tinggi dan turut memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berpaksikan kecemerlangan," menurut KPT.