- Iklan -
Berita

Reformasi pendidikan, langkah tampung kenaikan kos haji antara tumpuan Dewan Rakyat

Soalan mengenai bantuan kerajaan untuk kakitangan angkatan tentera tanpa pencen juga akan ditanya, dan kualiti serta kos perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar mengulang kaji pelajaran di perpustakaan di sebuah universiti di Johor. Gambar: AFP
Pelajar mengulang kaji pelajaran di perpustakaan di sebuah universiti di Johor. Gambar: AFP

Pelan bagi merealisasikan reformasi pendidikan di institut pengajian tinggi dan langkah kerajaan menampung peningkatan kos untuk mengerjakan ibadah haji serta umrah, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai reformasi pendidikan itu diajukan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) kepada menteri pendidikan tinggi. 

Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula ingin tahu langkah serta bantuan disediakan kerajaan bagi menampung peningkatan mendadak kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Turut tersenarai, soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta penjelasan Menteri Pertahanan berhubung pelaksanaan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen khususnya kategori B40.

Soalan mengenai kualiti dan kos perkhidmatan 5G yang ditawarkan syarikat telekomunikasi, usaha mengurangkan kos kepada pengguna serta tempoh masa liputan 5G di seluruh negara boleh dicapai pula diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Komunikasi dan Digital. 

Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa. 

Menurut takwim di laman Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari.