- Iklan -
Berita

Hanya separuh lepasan SPM rancang sambung belajar, menurut kajian

Kebanyakannya mengatakan melanjutkan pelajaran adalah tidak berfaedah seperti sebelum ini, manakala yang lain menyatakan kos yuran pengajian dan keengganan mereka untuk mengambil pinjaman pendidikan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelajar menangis kegembiraan selepas menerima keputusan SPM di Dewan Utama SMK Putrajaya Presint 11 (1) pada 16 Jun 2022.
Seorang pelajar menangis kegembiraan selepas menerima keputusan SPM di Dewan Utama SMK Putrajaya Presint 11 (1) pada 16 Jun 2022.

Hanya separuh daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merancang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi, dengan 32% mengatakan pilihan ini tidak berfaedah seperti sebelumnya, demikian menurut satu kajian yang dijalankan baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI itu menyaksikan penyertaan 1,000 responden yang ditanya mengenai rancangan mereka selepas menamatkan peperiksaan SPM. 

Lebih separuh (51%) akan menyambung belajar, manakala 39% berkata mereka akan mencari pekerjaan manakala 10% tidak mempunyai rancangan.

Apabila ditanya tentang pilihan untuk menyambung pelajaran, 68% mengatakan bahawa ini boleh mengubah kehidupan sementara 32% lagi melihat ia tidak berfaedah seperti sebelum ini.

Apabila ditanya mengapa tidak mahu menyambung pelajaran, 34% berkata mereka perlu bekerja dahulu untuk membayar pendidikan mereka. 

Kira-kira 32% mengatakan mereka tidak mahu dibebani dengan pinjaman pelajaran, 32% mengatakan yuran pendidikan sangat mahal, dan 22% mengatakan tidak mendapat keputusan yang bagus di sekolah.

Sebanyak 21% mengatakan pendidikan merupakan jaminan mendapat pekerjaan yang lebih baik, 20% mengatakan mereka masih boleh mendapat gaji sama seperti yang melanjutkan pelajaran, manakala 6% mengatakan tidak boleh menerima tekanan peperiksaan. 

Ditanya jenis pekerjaan yang diminati, 34% daripada responden yang tidak berhasrat melanjutkan pelajaran berkata mereka mahu menjadi affiliate media sosial atau pempengaruh. 

Sebanyak 26% merujuk kepada sektor e-hailing, dan 22% berkata mereka akan memulakan perniagaan sendiri dalam sektor makanan dan minuman. 

Apabila ditanya sama ada berminat dengan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerajaan, 41% daripada kumpulan itu berkata ya manakala 59% berkata tidak.

MalaysiaNow hujung tahun lalu melaporkan universiti bukan lagi destinasi pilihan bagi sesetengah pelajar lepasan sekolah walaupun mereka berjaya dalam SPM.

Data dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira 390,000 atau 72.1% pelajar lepasan SPM pada 2019 tidak berminat untuk meneruskan pengajian.

Angka-angka ini adalah selaras dengan trend di negara lain termasuk UK di mana, di England, Wales dan Ireland Utara, hanya dua pertiga daripada pelajar yang berhenti sekolah berkata adalah penting untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Beberapa pelajar yang bercakap dengan MalaysiaNow berkata kuliah di universiti adalah "sekolah lama" dan tidak selari dengan perkembangan dalam era digital. 

Mereka juga menyebut kos pengajian ijazah di universiti boleh mencecah puluhan ribu ringgit.