- Iklan -
Berita

Program MyLesen diperluas kepada pemandu bas, kata Loke

Ini kerana terdapat kekurangan bilangan pemandu bas di negara ini berdasarkan maklumat daripada pengusaha industri perkhidmatan bas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Gambar: Bernama

Kementerian Pengangkutan (MOT) berhasrat memperluaskan lagi pelaksanaan Program MyLesen membabitkan lesen perkhidmatan kenderaan awam (PSV) kelas E bagi bas dalam usaha memastikan industri perkhidmatan bas lebih berdaya saing dan selamat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini kerana terdapat kekurangan bilangan pemandu bas di negara ini berdasarkan maklumat daripada pengusaha industri perkhidmatan bas.

"Kita memang kekurangan pemandu bas, sama ada pemandu bas henti-henti atau bas ekspres...saya difahamkan oleh pengusaha industri bas memang sukar untuk mendapat pemandu bas, bukan sahaja sukar untuk rekrut tetapi juga untuk kekalkan.

"(Melalui Program MyLesen) kami mahu lahirkan pemandu yang baik, berhemah supaya memastikan industri perkhidmatan bas juga dapat berdaya saing dan selamat, itu yang penting...kami jangka program untuk bas ini akan dilaksanakan pada tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program MyLesen B2 bagi motosikal peringkat kebangsaan di Sungai Petani hari ini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. 

Program MyLesen B2 dilancarkan bagi membantu golongan B40 mendapatkan lesen memandu Kelas B2 dan ia merupakan satu daripada inisiatif di bawah Belanjawan Madani 2023 yang dilaksanakan MOT menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Anthony berkata calon yang layak untuk menjadi pemandu bas akan terpilih mengikuti kelas di institut memandu dan menduduki ujian menerusi program seumpama itu dengan semua kos akan ditanggung kerajaan sekali gus dapat melahirkan pemandu bas terlatih yang mencukupi.

Beliau juga tidak menafikan yang ramai pemandu bas negara ini berhijrah untuk bekerja sebagai pemandu bas di negara jiran seperti Singapura kerana pendapatan yang lebih tinggi di negara itu.

“Ini juga punca kita kekurangan pemandu bas...dan sebab itu kami berhasrat melaksanakan satu program untuk melatih dan melesenkan pemandu bas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan dalam Program MyLesen B2 dan seramai 9,000 calon terdiri daripada golongan B40 dijangka menerima manfaat menerusi program berkenaan.

"Ia merangkumi kos ujian dan latihan dengan kos RM300 bagi setiap calon...hari ini seramai 306 calon yang akan mengikuti program bagi kumpulan pertama ini dan ia akan diteruskan ke seluruh negara.

"Kami juga bersedia untuk bekerjasama dengan agensi lain antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memperluas lagi program ini tetapi peruntukan itu perlu datang daripada agensi masing-masing," katanya.