- Iklan -
Berita

KJ atau Tok Mat, siapa lagi berpengaruh di Negeri Sembilan?

Spekulasi bertiup kencang mengenai masa depan Khairy Jamaluddin selepas dipecat Umno, dengan persoalan turut dibangkitkan tentang kesan yang mungkin ada pada hubungan BN dan PH pada pilihan raya negeri.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Tawaran untuk mempelawa bekas ahli Umno, Khairy Jamaluddin menyertai Bersatu kini menjadi antara tumpuan ramai termasuk pemerhati politik, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

Sejak dibuang Umno pada akhir Januari lalu, hala tuju karier politik Khairy masih menjadi tanda tanya apabila bekas ketua Pemuda Umno itu sehingga kini belum memberi kata putus berhubung parti politik yang ingin disertainya.

Buat masa ini beliau aktif menyuarakan pandangan mengenai perkembangan semasa politik menerusi podcast "Keluar Sekejap" yang dihoskan bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, selain menjadi DJ di stesen radio tempatan.

Namun begitu, pelawaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin kepada Khairy menjadi ahli Majlis Tertinggi (MKT) Bersatu, seolah-olah memberi bayangan mereka ingin bekas ahli Parlimen Rembau itu mengetuai jentera gabungan pembangkang itu di Negeri Sembilan, sekali gus menggambarkan beliau sebagai calon menteri besar daripada gabungan politik tersebut.

Khairy sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal bermula 2008 sebelum beliau "dipindahkan" dan tewas ketika bertanding di Sungai Buloh, antara kerusi yang dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH), pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas.

Pada masa sama, Mohamad Hasan atau lebih mesra dikenali sebagai "Tok Mat" menggantikan tempat Khairy sebagai ahli Parlimen Rembau, selain menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sejak 2004.

Susulan itu, persoalan utama yang timbul ialah sama ada populariti Khairy yang pernah memegang tiga portfolio menteri Kabinet, mampu mengatasi pengaruh Tok Mat yang pernah memimpin negeri itu selama 14 tahun sebelum pentadbirannya tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Menurut beberapa penduduk sekitar Rantau, meskipun Khairy dilihat lebih popular, Tok Mat dianggap mempunyai kelebihan jika kedua-dua individu terbabit bertanding di bawah DUN berkenaan.

Penduduk dari Siliau, Roslan Aziz yang sudah menetap di situ hampir 60 tahun, berkata pengundi di kawasan itu sukar untuk ketepikan segala jasa Tok Mat terhadap komuniti di situ serta pembangunan yang dilaksanakan kepada negeri berkenaan.

Katanya, antara "legasi" yang paling ketara masih boleh dilihat pada hari ini ialah pembangunan Bandar Sri Sendayan disertakan pembinaan masjid paling cantik di Negeri Sembilan iaitu Masjid Sri Sendayan.

"Ramai pengundi suka Khairy, tetapi kalau dia bertembung dengan Tok Mat, mungkin kelebihan akan berpihak kepada Tok Mat di DUN ini," katanya kepada MalaysiaNow.

"Tapi mungkin Khairy akan mempunyai peluang lebih tinggi jika bertanding di DUN lain yang juga terletak di bawah Parlimen Rembau."

Penduduk dari Bandar Ekar, Razali Kajun, berkata Barisan Nasional (BN) mungkin akan kehilangan DUN Rantau sekiranya Khairy bertanding dengan calon selain Tok Mat.

"Pengaruh Tok Mat masih kuat di sini, malah ramai pilih Umno disebabkan dia.

“Jika Tok Mat bertembung dengan Khairy, saya jangkakan persaingan sengit, tapi jika BN gantikan dengan calon lain, mungkin Khairy akan menang besar," katanya yang sudah menetap di situ selama 12 tahun.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Felda Sendayan, Noraini Hamzah, akui masih akan sokong Tok Mat meskipun Umno kini sudah berkawan dengan DAP.

Namun, beliau memberi amaran akan beralih sokongan jika banner yang dibawa Tok Mat mengandungi bendera DAP.

"Kalau BN letak calon lain atau Tok Mat datang (berkempen) membawa banner yang ada logo DAP, maaf cakap, saya akan tolak.

"Dulu kita diminta tolak DAP atau mana-mana parti dari PH, kini suruh undi mereka pula, sebab itu ramai pengundi di sini kecewa dengan Tok Mat," tambahnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain, menjangkakan kerjasama Umno dan PH menjejaskan keyakinan pengundi Negeri Sembilan terhadap parti Melayu itu, sekali gus membuka jalan kepada PN untuk meluaskan pengaruh mereka di negeri terbabit.

Malah, katanya, PN akan raih manfaat lagi besar sekiranya Khairy bersetuju untuk menyertai gabungan parti politik itu dan mengetuai jentera di Negeri Sembilan menentang PH dan BN.

"Jika PN letak Khairy mewakili mereka, itu sangat sesuai sebab di Negeri Sembilan, tiada yang lagi popular selain Tok Mat,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Kerjasama Umno dan PH akan menggugat populariti Tok Mat dan ini akan dijadikan sebagai 'peluru' PN nanti.

"Umno sudah lari daripada prinsip asal dan ini akan jadi strategi PN untuk tumbangkan mereka di negeri itu.”