- Iklan -
Berita

RM1.6 bilion diperlu untuk subsidi minyak masak tahun ini, kata menteri

Peruntukan itu berdasarkan ketetapan dasar bagi menyediakan sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau kira-kira 60 juta paket minyak masak 1 kilogram.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja menyusun minyak masak di rak sebuah pasar raya di Kuala Terengganu. Gambar: Bernama
Seorang pekerja menyusun minyak masak di rak sebuah pasar raya di Kuala Terengganu. Gambar: Bernama

Sebanyak RM1.6 bilion diperlukan bagi melaksanakan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS) pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang dikemas kini itu adalah berdasarkan ketetapan dasar bagi menyediakan sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau kira-kira 60 juta paket minyak masak 1 kilogram (kg).

"Secara amnya, jumlah peruntukan atau dana bagi menyediakan minyak masak bersubsidi adalah tertakluk pada pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO). Sekiranya CPO meningkat maka, dana yang diperlukan untuk laksanakan program juga meningkat.

"Oleh demikian, peruntukan yang telah dikemas kini bagi melaksanakan COSS pada 2022 adalah sebanyak RM2.42 bilion subsidi tambahan, manakala untuk 2023 jumlah peruntukan diperlukan dianggarkan sebanyak RM1.6 bilion dan tertakluk pada pergerakan naik turun harga CPO," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai dana dan jumlah subsidi minyak masak yang telah diluluskan pada 2022 dan 2023, serta nama-nama syarikat yang diberi kelulusan tersebut pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Fuziah berkata sebelum ini jumlah peruntukan atau dana yang diumumkan melalui Belanjawan bagi pelaksanaan COSS adalah sebanyak RM400 juta bagi 2022 dan RM500 juta untuk 2023.

Sementara itu, menyentuh mengenai penyediaan minyak masak bersubsidi, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melantik sebanyak 366 syarikat pembungkus di seluruh negara untuk membekalkan minyak masak bersubsidi di pasaran. 

Menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung kelewatan bayaran tuntutan pihak pembungkus sehingga menjejaskan bekalan minyak masak di pasaran, Fuziah berkata KPDN telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan sistem ECOSS bagi mengatasi isu itu.

"Sistem digital ini perlu didaftarkan semua kilang penapis minyak, pembungkus semula, pemborong dan peruncit supaya kita boleh kawal selia seluruh rantaian bekalan. Jadi tidak lagi berlaku keadaan sebelum ini melibatkan tuntutan palsu.

"Jadi proses ini mengambil masa sedikit dan itu antara punca kelewatan, tetapi masalah tersebut sudah diselesaikan dan Insya-Allah pada masa hadapan tidak akan berlaku lagi kelewatan pembayaran," katanya.