- Iklan -
Berita

Warisan akan teliti sebelum sokong RUU anti lompat parti di DUN Sabah

Mohd Shafie Apdal mengalu-alukan pembentangan RUU itu, namun ia perlu diteliti agar memberi kestabilan politik di Malaysia khususnya di Sabah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama

Parti Warisan (Warisan) akan meneliti secara menyeluruh sebelum menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijadual dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata presidennya Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pembentangan RUU itu, bagaimanapun ia perlu diteliti agar sebarang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang bakal dikuatkuasakan mampu memberi kestabilan politik di Malaysia khususnya di Sabah.

"Kita tidak mahu ada pihak yang mengatakan bahawa Warisan tidak menyokong RUU Anti Lompat Parti...kita mahu perkara itu dilaksanakan secepat mungkin, namun kita mahu tahu dan teliti dahulu apa yang terkandung dalam RUU itu," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan berkata Kerajaan Sabah akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan DUN yang bermula hari ini.

Mohd Shafie sebelum ini berkata pihaknya menyatakan cadangan berkaitan RUU Akta Anti Lompat Parti, yang mana cadangan itu bertujuan meminda Perkara 17 Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Perkara 17A dan 17B. 

Beliau berkata penambahan Perkara 17A antara lain melibatkan Ahli DUN bertukar parti politik, iaitu dia hendaklah berhenti menjadi Ahli DUN dan kerusinya menjadi kosong; sekiranya meletak jawatan, dipecat, berhenti, menyertai parti politik lain atau berhenti menjadi ahli parti politik diwakilinya atas apa juga sebab.

"Perkara yang sama juga akan dikenakan kepada calon bebas yang setelah dipilih ke DUN, menyertai parti politik. Seseorang Ahli DUN tidak perlu mengosongkan kerusinya jika partinya dibubarkan atau pendaftaran partinya dibatalkan atau dia meletakkan jawatan apabila dipilih sebagai Speaker,” katanya.

Beliau berkata penambahan Perkara 17B pula antara lain melibatkan perubahan gabungan parti politik iaitu Ahli DUN hendaklah berhenti menjadi ahlinya dan kerusinya menjadi kosong; sekiranya parti politik diwakilinya itu meninggalkan, dipecat, atau berhenti menjadi ahli gabungan parti politik yang bertanding pada pilihan raya.

Mohd Shafie berkata Speaker DUN Sabah hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis apabila berlakunya kekosongan kerusi di bawah Perkara-perkara tersebut, iaitu kekosongan itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh penerimaan pemberitahuan.

Beliau berkata parti politik juga hendaklah meminda perlembagaannya selaras dengan penambahan berkenaan.