- Iklan -
Berita

Mais bidas tindakan 'unilateral' Putrajaya dalam isu kalimah Allah

Majlis Agama Islam Selangor menggesa supaya rayuan itu dikekalkan kerana ia melibatkan isu agama Islam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam menunaikan solat Jumaat di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Umat Islam menunaikan solat Jumaat di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membidas tindakan Putrajaya kerana menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam bahan penerbitan agama mereka.

Mais berkata kerajaan Persekutuan bertindak secara unilateral tanpa merujuknya sebagai pihak berkepentingan dalam isu yang menjadi pertikaian. 

Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof turut mempertikaikan dakwaan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution keputusan untuk menarik balik rayuan itu hanya berkaitan soal pentadbiran.

“Mais berpendirian bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi is juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah bersama tiga perkataan Arab lain – Baitullah, kaabah dan solat – dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Ia sekali gus membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh penganut agama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill, yang mempertikaikan undang-undang mengenai perkara itu pada 2008.

Kerajaan di bawah perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Semalam, Saifuddin berkata keputusan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan itu adalah berkaitan dengan soal pentadbiran, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan larangan terhadap orang bukan Islam di luar Sarawak daripada menggunakan kalimah Allah dalam bahan keagamaan mereka.

Mais berkata walaupun statusnya sebagai "sahabat mahkamah" sewaktu proses rayuan, namun ia tidak dirujuk Putrajaya mengenai keputusan terkini. 

Menurut majlis agama itu semua pihak termasuk ahli politik harus menghormati titah Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri, dan mematuhi Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam.

"Mais sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Selangor.

"Mais berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertarikh 23 Mac 2021 melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di negeri Selangor," katanya.

Kenyataan Mais hari ini menambah bantahan daripada kumpulan dan pemimpin Islam, termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang mengatakan kerajaan sepatutnya membenarkan mahkamah menyelesaikan pertikaian itu. 

Anwar dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan akan membentangkan cadangan kepada Majlis Raja-raja bagi “mengukuhkan penguatkuasaan dasar” berhubung penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.”

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata keputusan Putrajaya tidak akan menjejaskan dasar sedia ada mengenai penggunaan kalimah Allah di negeri itu.

“Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor,” katanya.