- Iklan -
Berita

Prasarana timbang kaji semula masa operasi selenggara, cegah kerosakan tren

Anthony Loke berkata pihaknya akan mengkaji masa operasi penyelenggaraan dan kejuruteraan yang lebih relevan bagi mengurangkan risiko kerosakan tren.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada sidang media yang diadakan semasa rumah terbuka Hari Raya Prasarana Group di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada sidang media yang diadakan semasa rumah terbuka Hari Raya Prasarana Group di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan akan melaksanakan anjakan paradigma dari segi kaedah penyelenggaraan pengangkutan rel seliaan Prasarana Malaysia Berhad yang lebih fokus kepada langkah pencegahan kerosakan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pihaknya akan mengkaji antara lain masa operasi penyelenggaraan dan kejuruteraan yang lebih relevan bagi mengurangkan risiko kerosakan tren yang menyebabkan gangguan perkhidmatan dan menjejaskan pengguna.

"Satu daripada komponen dalam budaya penyelenggaraan adalah mempunyai waktu kejuruteraan yang lebih lama setiap hari, ini adalah satu komponen utama yang akan kami perkenalkan dalam operasi kami.

“Kami perlu melihat kepada tempoh kejuruteraan yang lebih panjang, ini bermakna kami mungkin menutup operasi sedikit awal mungkin setengah atau satu jam lebih awal untuk mempunyai masa penyelenggaraan dan kejuruteraan yang lebih lama, tetapi kami akan memberi notis yang mencukupi kepada penumpang untuk menerima pakai perubahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) dan majlis rumah terbuka Hari Raya Prasarana Group di Kuala Lumpur hari ini.  

Dalam sidang media itu, Loke berkata beliau yakin Prasarana mampu mencapai sasaran MKBF sejauh satu juta kilometer bagi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya , LRT Laluan Ampang dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang  serta 150,000 kilometer untuk Monorel menjelang suku ketiga tahun 2026.

Loke berkata MKBF merupakan cara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menilai kebolehpercayaan perkhidmatan yang diperoleh daripada purata jarak perjalanan kereta api sebelum kegagalan atau kerosakan yang menyebabkan kelewatan lebih daripada lima minit berlaku. 

Katanya MKBF yang juga digunakan oleh pengendali kereta api di seluruh dunia termasuk di Singapura, Thailand dan Taiwan turut menjadi sebahagian dari KPI utama dan merupakan kaedah penilaian secara telus terhadap kemampuan MRT, LRT dan monorel untuk bergerak dan mengalami sebarang kerosakan.

"Laporan ini sememangnya disediakan Prasarana setiap bulan dan akan diserahkan kepada kementerian,  namun kini laporan ini akan dipaparkan dalam talian (menerusi laman web dan media sosial) kepada umum," katanya. 

Beliau berkata inisiatif itu juga dilihat sebagai kaedah yang lebih telus dalam usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam dan pihaknya terbuka menerima pandangan daripada masyarakat dan mana-mana pihak berkepentingan yang boleh memantau prestasi perkhidmatan menerusi KPI itu. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.