- Iklan -
Berita

PAS tolak tawaran berdamai dengan Anwar, komited bersama PN

Pendirian parti Islam itu kekal berdiri teguh bersama gabungan PN.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motosikal melalui deretan bendera Perikatan Nasional sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Tambun, 17 November 2022.
Penunggang motosikal melalui deretan bendera Perikatan Nasional sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Tambun, 17 November 2022.

PAS menolak tawaran “berdamai” oleh veteran DAP Lim Kit Siang supaya kerajaan campuran bekerjasama dengan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata pendirian parti itu kekal berdiri teguh bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelang siri PRN di enam negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Kami komited dengan Perikatan Nasional.

“Boleh minta Lim Kit Siang untuk nasihat kerajaan campuran Madani dan PM10 supaya tidak menipu rakyat dan beri janji-janji kosong,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tawaran Lim timbul di sebalik kesibukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat aktif mengusahakan jalan perdamaian dengan PAS menerusi perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam perjumpaan pada Jumaat, Anwar menyuarakan hasratnya untuk menjalin hubungan baik bersama parti Islam itu termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Lim menegaskan kerajaan campuran perlu berbuat demikian dengan dua syarat.

Pertama, Hadi harus menghentikan permusuhan terhadap Anwar dan membuktikan keikhlasannya terhadap perdamaian itu.

Kedua, Hadi perlu berjanji agar tidak lagi melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap DAP dan sekiranya bersetuju, PAS perlu dijemput menyertai kerajaan campuran.

Menurut Lim, langkah perdamaian ini juga siring dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara yang progresif dan makmur.

“Sekiranya Hadi boleh menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab, dan dihormati dan dia bersedia untuk mengakui kesilapannya dalam membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal ini, saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa PAS tidak boleh dijemput untuk menyertai kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke majlis Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, PAS memenangi 49 daripada 222 kerusi Parlimen, yang terbanyak daripada semua parti tunggal.